BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerjaan kebanyakannya di Jerman sebagai sebahagian daripada program penjimatan kos yang dilancarkan susulan pasaran China yang semakin lemah dan tekanan kos yang meningkat, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.
Menurut laporan akhbar Jerman pada Rabu, persetujuan dicapai selepas rundingan selama beberapa minggu antara pihak pengurusan BMW dan wakil pekerja mengenai program pemberhentian secara sukarela.
Di bawah program ini, proses pemberhentian akan bermula pada Oktober 2026 dan berterusan sehingga akhir 2027.
Program itu akan mengurangkan jumlah tenaga kerja sebanyak 8,000 pekerja.
Bagi BMW, yang mempunyai sejumlah 150,000 pekerja di seluruh dunia dan kira-kira 84,000 di Jerman, tawaran pemberhentian secara sukarela akan diberikan kepada kira-kira 40,000 pekerja yang tidak terlibat secara langsung dalam bahagian pengeluaran.
Program ini akan melibatkan pekerja di bahagian pengurusan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), perancangan, serta pentadbiran.
Jumlah bayaran pampasan pemberhentian yang akan dibayar kepada pekerja akan ditentukan berdasarkan gaji dan tempoh perkhidmatan.
Pada Jun, BMW menyemak turun unjuran jualan dan keuntungan bagi tahun 2026, terutamanya disebabkan oleh penurunan permintaan di pasaran China.
Pengeluar kenderaan Jerman itu mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan langkah penjimatan kos sebagai tindak balas terhadap tarif AS, peningkatan kos dan tekanan persaingan global.
-- BERNAMA-ANADOLU