Skip to main content

Dunia

Bolsonaro tinggalkan Brazil melalui Argentina selepas kalah pilihan raya

Terdapat laporan menyatakan Bolsonaro merancang untuk ke Amerika Syarikat selepas kekalahannya dalam pilihan raya bagi mengelak kemungkinan berdepan masalah perundangan. - Reuters
Terdapat laporan menyatakan Bolsonaro merancang untuk ke Amerika Syarikat selepas kekalahannya dalam pilihan raya bagi mengelak kemungkinan berdepan masalah perundangan. - Reuters

Advertisement

BUENOS AIRES: Calon presiden Brazil yang tewas, Flavio Bolsonaro dilaporkan melakukan perjalanan melalui Argentina sebelum menaiki pesawat persendirian menuju ke Ecuador, menurut pihak berkuasa imigresen Argentina pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut kenyataan pihak berkuasa yang dimuat naik di platform media sosial X awal Rabu, Bolsonaro ditemani isterinya, Fernanda serta dua anak perempuan mereka, Carolina dan Luiza, pada lewat Selasa.

Pelan penerbangan menunjukkan bandar pelabuhan Guayaquil di Ecuador sebagai destinasi pesawat berkenaan.

Laporan terdahulu menyebut Bolsonaro merancang untuk ke Amerika Syarikat (AS) selepas kekalahannya dalam pilihan raya bagi mengelak kemungkinan berdepan masalah perundangan.

Pihak berkuasa imigresen Argentina memaklumkan bahawa Bolsonaro dan keluarganya memasuki negara itu melalui jalan darat di wilayah utara Misiones, berhampiran Air Terjun Iguazu, menggunakan dokumen perjalanan yang sah.

Seorang pegawai AS mengesahkan bahawa negara itu akan memberikan visa kepada Bolsonaro dan keluarganya serta membenarkan mereka memasuki AS, namun rancangan perjalanan seterusnya masih belum jelas.

Bolsonaro sebelum ini gagal mematuhi arahan Mahkamah Agung Brazil supaya menyerahkan pasportnya dalam tempoh 24 jam.

Hakim Mahkamah Agung Alexandre de Moraes turut mengarahkan pembatalan pasport Bolsonaro dan melarang beliau meninggalkan negara itu.

Arahan berkenaan dikeluarkan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap Bolsonaro dan peguam Willer Tomaz berhubung dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan serta pertaruhan sukan dalam talian.

Bolsonaro, anak kepada bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro, tewas kepada penyandang jawatan Luiz Inacio Lula da Silva dalam pilihan raya presiden pada Ahad.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement