SAO PAULO/RIO DE JANEIRO: Dua calon utama Pilihan Raya Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Flavio Bolsonaro, secara rasmi memulakan kempen mereka pada Ahad dengan menghimpunkan ribuan penyokong di kubu politik masing-masing menjelang persaingan sengit yang dijangka berlangsung pada Oktober ini.
Presiden Lula da Silva berucap di hadapan lebih 10,000 penyokong di Stadium Vila Euclides, berhampiran Sao Paulo, lokasi yang mempunyai nilai sentimental dalam perjalanan politiknya sejak hampir lima dekad lalu.
Di situlah Lula, kini berusia 80 tahun, mula mencipta nama sebagai pemimpin kesatuan pekerja industri logam ketika era pemerintahan diktator tentera Brazil antara 1964 hingga 1985.
Mengenakan topi selepas didiagnosis menghidap kanser kulit, Lula menegaskan, dasar-dasar yang diperkenalkannya masih diperlukan rakyat Brazil.
Sementara itu, Senator Flavio Bolsonaro, 45, anak kepada bekas Presiden Jair Bolsonaro menghimpunkan ribuan penyokong di Pantai Copacabana, Rio de Janeiro.
Jair Bolsonaro tidak menghadiri perhimpunan tersebut kerana kini menjalani tahanan rumah selepas disabitkan kesalahan berkaitan cubaan rampasan kuasa.
Dalam ucapannya, Lula sekali lagi mengecam campur tangan asing dalam politik domestik Brazil.
Sekutunya sebelum ini menuduh Amerika Syarikat cuba membantu kempen Flavio Bolsonaro menerusi beberapa langkah termasuk menaikkan tarif ke atas eksport Brazil dan membatalkan visa Duta Brazil ke Washington.
Menyentuh mengenai kekayaan sumber mineral nadir bumi negara itu, Lula menegaskan, Brazil tidak akan membenarkan pihak luar menguasainya.
"Tiada sesiapa dari luar akan mengeksploitasi mineral kita. Kita akan memanfaatkannya untuk kepentingan rakyat Brazil," katanya.
Sebaliknya, Bolsonaro menampilkan dirinya sebagai calon yang mampu memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa.
"Saya satu-satunya calon yang boleh duduk semeja dengan Amerika Syarikat, China, Israel, negara-negara Asia Barat, India dan Argentina untuk mendapatkan perjanjian perdagangan terbaik buat negara kita," katanya.
Konvensyen partinya turut dihadiri Presiden Argentina, Javier Milei, manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta beberapa anggota pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan menyatakan sokongan terhadapnya.
Rebut sokongan pengundi wanita
Dalam kempen kali ini, kedua-dua calon memberi perhatian khusus kepada isu keselamatan wanita, yang dilihat mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Wanita merangkumi hampir 53 peratus daripada 158 juta pengundi berdaftar di Brazil, menurut mahkamah pilihan raya negara itu.
Lula yang berusaha meraih penggal keempat tanpa berturut-turut sebagai Presiden, menggunakan isu keganasan berasaskan gender sebagai antara agenda utama kempennya.
Menurut pangkalan data Kementerian Kehakiman dan Keselamatan Awam Brazil, hampir 400 kes femisid atau pembunuhan wanita atas faktor jantina direkodkan pada suku pertama 2026, jumlah tertinggi bagi tempoh sama sejak statistik itu mula dikumpulkan 11 tahun lalu.
"Lelaki perlu dididik sejak kecil bahawa mereka tidak lebih baik daripada wanita. Kita perlu hidup sebagai insan yang setara," kata Lula.
Beliau ditemani isterinya, Rosangela da Silva, yang turut menjadi antara penceramah utama pada program di Sao Bernardo do Campo, kawasan yang pernah menjadi tempat tinggal Lula selama bertahun-tahun.
Sebelum ini, semasa konvensyen Parti Pekerja bagi melancarkan kempen pemilihan semulanya awal bulan ini, Lula berkata lelaki yang melakukan keganasan rumah tangga dan keganasan berasaskan gender perlu memilih sama ada menyokongnya atau terus melakukan keganasan.
"Jika mereka memilih keganasan, mereka tidak perlu mengundi saya," katanya ketika itu.
Lula berkata, beliau akan melancarkan platform dasar baharu dalam tempoh 10 hari, termasuk cadangan berkaitan pendidikan dan pengukuhan undang-undang bagi menangani keganasan terhadap wanita.
Walaupun Brazil memperkenalkan beberapa pembaharuan undang-undang berkaitan perlindungan wanita, perkembangan itu dianggap masih perlahan.
Pada 2024, femisid akhirnya diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah yang berasingan daripada pembunuhan biasa, dengan hukuman penjara antara 20 hingga 40 tahun.
Namun, angka kes masih menunjukkan trend yang membimbangkan.
Pada masa sama, Bolsonaro turut menjadikan isu keselamatan wanita antara fokus kempennya.
Dengan ditemani ibu dan isterinya, beliau berjanji akan mempergiat usaha membanteras keganasan terhadap wanita sekiranya dipilih sebagai presiden.
Rakyat Brazil dijadual mengundi dalam pilihan raya presiden pada 4 Oktober depan, yang dijangka menjadi antara saingan paling sengit dalam sejarah politik moden negara itu. - Agensi