Skip to main content

Dunia

BRICS 2026: Pertemuan Anwar-Pezeshkian bincang konflik Asia Barat, Selat Hormuz, kerjasama pelbagai sektor

TB_Anwar Ibrahim.jpg
Anwar meluangkan masa beberapa minit mengadakan perbincangan tertutup secara berdiri (pull-aside) bersama Pezeshkian dan Abbas Araghchi.
Advertisement

NEW DELHI: Malaysia menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung konflik berterusan dan peningkatan ketegangan di Asia Barat, di samping menegaskan kepentingan menjamin kebebasan serta keselamatan laluan maritim di Selat Hormuz selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Pendirian tegas itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dua hala bersama Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian, di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini, pagi ini.

Dalam rundingan tersebut, Anwar menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik serantau agar kembali ke meja dialog dan mengutamakan pendekatan diplomasi bagi meredakan ketegangan serta menyelesaikan sebarang pertikaian.

Pertemuan peringkat tinggi berkenaan turut disertai oleh Menteri Luar Negeri Iran, Seyed Abbas Araghchi, bersama barisan menteri Kabinet dan pegawai kanan kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan hubungan diplomatik yang sekian lama terjalin kukuh antara Putrajaya dan Tehran, selain menegaskan semula komitmen memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

Menyentuh aspek ekonomi, Malaysia dan Iran meneroka penerusan serta peluasan kerjasama perdagangan dan peluang pelaburan dalam beberapa sektor strategik.

Antara sektor yang diberi penekanan merangkumi bidang tenaga, pertanian, komoditi minyak sawit, keterjaminan makanan, industri halal, teknologi, serta pendidikan tinggi.

Sejurus sesi rundingan meja bulat rasmi berakhir, Anwar meluangkan masa beberapa minit mengadakan perbincangan tertutup secara berdiri (pull-aside) bersama Pezeshkian dan Abbas Araghchi bagi bertukar-tukar pandangan lanjut sebelum kedua-dua pihak beredar.

Pertemuan ini membawa signifikasi tersendiri dalam kerangka diplomasi pelbagai hala mengambil kira kedudukan Iran sebagai anggota penuh BRICS manakala Malaysia hadir dengan status 'Negara Rakan' (Partner Country).

Mengiringi Perdana Menteri dalam sesi berkenaan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India, Sharifah Ezneeda Wafa; serta delegasi kanan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).

Rundingan bersama Pezeshkian merupakan agenda dua hala kedua Perdana Menteri di New Delhi selepas pertemuan empat mata bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, malam tadi.

Must Watch Video

Advertisement