KUALA LUMPUR: Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Nepal bagi membolehkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa yang ditemukan dalam bencana banjir dan tanah runtuh di negara itu dihantar ke Kuala Lumpur untuk proses pengecaman.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu penting berikutan kekangan fasiliti, peralatan dan kemudahan berkaitan DNA di kawasan terjejas di Nepal.
"Apa yang sedang kami rundingkan ialah untuk kita dapat menghantar pakar-pakar DNA untuk meneliti atau meminta mereka menghantar DNA yang sudah diambil dan sampel mangsa yang ditemui ke sini supaya lebih mudah untuk kita mengenal atau membuat pemadanan DNA.
"Di sana mereka kekurangan fasiliti, peralatan dan kemudahan. Jadi melalui kedutaan, kita meminta, jika boleh, pihak keselamatan Nepal menghantar sampel ke Malaysia, ke Kuala Lumpur untuk kita buat pemadanan dengan ahli keluarga terdekat yang sudah diambil sampel DNA," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia turut berunding dengan pihak berkuasa Nepal bagi membolehkan waris rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan mendapatkan dokumen pengesahan kehilangan.
Menurutnya, perkara itu penting bagi membolehkan urusan waris, termasuk tuntutan insurans, dapat dilakukan dengan segera.
Sebelum ini media melaporkan 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan susulan banjir besar di Daerah Rasuwa di Nepal, pada 26 Ogos lalu.