Skip to main content

Politik

PAU 2026: Kerjasama Kerajaan Perpaduan tidak semestinya diteruskan pada pilihan raya – Asyraf Wajdi

Kuala Lumpur , 12 September 2026.Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ,  Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada sidang media sempena Perhimpunan Agong UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Asyraf Wajdi (foto) berkata keputusan untuk bergerak secara berasingan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap Kerajaan Perpaduan. -Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tidak semestinya diteruskan pada sesuatu pilihan raya kerana setiap parti bebas menentukan hala tuju dan rakan politik masing-masing.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan untuk bergerak secara berasingan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, perjanjian kerjasama sedia ada hanya terpakai sehingga pilihan raya dan tidak menetapkan bahawa semua parti perlu terus bekerjasama ketika menghadapinya.

“Banyak perkara hari ini mulai longgar dan pelbagai tohmahan dilemparkan, termasuk mengatakan bahawa Barisan Nasional ataupun UMNO melakukan pengkhianatan.

“Sedangkan kita tidak pernah mengkhianati sesiapa. Perjanjian kita hanya terpakai sehingga pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Asyraf berkata kerjasama Kerajaan Perpaduan tidak terpakai secara automatik selepas DUN dibubarkan, seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

“Johor tidak terpakai, Negeri Sembilan tidak terpakai. Apabila kita bubar sahaja, maknanya terserah kepada parti-parti untuk menentukan hala tuju masing-masing,” katanya.

Menurutnya, pendekatan sama turut terpakai di Sabah dan Sarawak kerana parti-parti di kedua-dua negeri itu berhak menentukan sendiri rakan kerjasama politik mereka.

“Saya tidak menjangkakan di Sabah dan Sarawak pun mereka akan dipaksa untuk bekerjasama. Mereka mempunyai hak untuk memilih dengan siapa mereka mahu melakukan kerjasama politik,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement