Skip to main content

Politik

PAU 2026: Gagasan MADANI tidak salah, tetapi hormati nama Kerajaan Perpaduan – Asyraf

Kuala Lumpur , 12 September 2026.Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ,  Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada sidang media sempena Perhimpunan Agong UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Asyraf berkata, perkara pertama dalam perjanjian 18 perkara dan perjanjian permulaan rundingan menyebut bahawa kerajaan yang ditubuhkan mestilah dinamakan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Advertisement

KUALA LUMPUR: UMNO tidak mempunyai masalah dengan gagasan Malaysia MADANI, namun menuntut nama Kerajaan Perpaduan Malaysia terus diberi keutamaan seperti yang dipersetujui oleh parti-parti yang membentuk kerajaan sebelum ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara pertama dalam perjanjian 18 perkara menetapkan bahawa pentadbiran tersebut perlu dinamakan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Sebenarnya, dari awal lagi kita menyebut supaya perkara yang termaktub dalam perjanjian dihormati.

“Menggunakan ‘war cry’ atau gagasan MADANI itu tidak ada masalah, tetapi apabila Kerajaan MADANI lebih ditonjolkan berbanding Kerajaan Perpaduan Malaysia, itu tidak sebagaimana yang disepakati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Asyraf menjelaskan, kerajaan berkenaan bukan milik satu parti, sebaliknya dibentuk menerusi kesepakatan BN dan Pakatan Harapan (PH) pada peringkat awal sebelum disertai parti-parti lain.

“Perkara pertama dalam perjanjian 18 perkara dan perjanjian permulaan rundingan menyebut bahawa kerajaan yang ditubuhkan mestilah dinamakan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Kerajaan itu bukan kerajaan satu parti. Pada peringkat awal, ada dua pihak, iaitu BN dan PH,” katanya.

Menurutnya, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, perjanjian melibatkan 18 parti dimeterai atas nama Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Asyraf berkata, keadaan itu berbeza dengan kerajaan yang dibentuk oleh sebuah parti dengan majoriti mutlak sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.

Sebaliknya, beliau menegaskan, sebarang keputusan dalam Kerajaan Perpaduan perlu dibuat menerusi rundingan dengan semua parti yang membentuk pentadbiran tersebut.


 

Must Watch Video

Advertisement