DUNIA
Britain bakal iktiraf negara Palestin September ini jika Israel enggan setuju gencatan senjata – PM Keir Starmer

Perdana Menteri Starmer menyampaikan kenyataan dari No. 10 Downing Street pada hari mesyuarat Kabinet dipanggil semula bagi membincangkan situasi di Gaza, di London, pada Selasa. - Gambar Reuters
LONDON: Britain memberi kata dua kepada Israel bahawa ia akan mengiktiraf negara Palestin menjelang September ini sekiranya rejim Zionis itu gagal menghentikan serangan di Gaza dan bersetuju terhadap pelan damai jangka panjang.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet pada Selasa berkata, pengiktirafan terhadap Palestin adalah sebahagian usaha menyokong penyelesaian dua negara yang berimpak besar.
“Saya pernah menyatakan bahawa pengiktirafan terhadap negara Palestin akan dilakukan apabila ia dapat menyumbang secara maksimum kepada proses damai yang sebenar.
"Kini, saya sahkan, United Kingdom akan mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini, sekiranya Israel tidak mengambil langkah konkrit untuk menghentikan krisis kemanusiaan di Gaza, bersetuju terhadap gencatan senjata dan komited kepada penyelesaian dua negara,” katanya.Kenyataan itu dibuat sehari selepas beliau menzahirkan rasa kecewa terhadap penderitaan penduduk Gaza, termasuk imej menyayat hati kanak-kanak kelaparan yang kini tular di seluruh dunia.
Pengumuman itu bagaimanapun mendapat reaksi keras daripada Kementerian Luar Israel yang menyifatkan langkah tersebut sebagai ‘ganjaran buat Hamas’ dan hanya akan merencatkan usaha damai serta pembebasan tebusan yang masih ditahan.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut menyuarakan kebimbangan senada dengan Israel dan menyifatkan pendekatan London dan Paris sebagai ‘memberi ganjaran kepada keganasan.’
Katanya, meskipun beliau menghormati keputusan pemimpin lain, Washington tidak akan mengikut langkah sama.
Terdahulu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga menyatakan komitmen untuk mengiktiraf negara Palestin pada September menjadikan Perancis negara G7 pertama mengambil pendirian tersebut.
Langkah Starmer turut mendapat pujian dari beberapa negara, termasuk Arab Saudi dan Naib Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Hussein Al Sheikh, yang menyifatkannya sebagai tanda sokongan terhadap undang-undang antarabangsa dan legitimasi rakyat Palestin.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, menyambut baik pendirian baharu Britain itu sambil berkata, London kini ‘menyertai momentum’ yang digerakkan Perancis dalam memperjuangkan pengiktirafan Palestin.
Ketua Menteri Scotland, John Swinney pula menyambut baik hasrat tersebut namun menegaskan, pengiktirafan terhadap negara Palestin tidak seharusnya bersyarat dan perlu disusuli dengan tekanan serta sekatan terhadap Israel jika keganasan terus berlaku.
Dalam kenyataan lanjut, Starmer menjelaskan, keputusan Britain itu didorong oleh krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza dan kebimbangan bahawa penyelesaian dua negara kini semakin sukar dicapai.
Sementara itu, menurut agensi keselamatan makanan disokong PBB, Gaza kini sedang mengalami "senario paling buruk iaitu kebuluran", dengan lebih 20,000 kanak-kanak dirawat akibat kekurangan zat makanan akut sejak April hingga pertengahan Julai.
“Sebab utama pengumuman ini dikaitkan dengan sidang PBB pada September adalah untuk memastikan ia memberi impak sebenar kepada keadaan di lapangan – bantuan kemanusiaan mesti masuk dan harapan terhadap penyelesaian dua negara mesti dihidupkan semula,” kata Starmer.
Menteri Luar Britain, David Lammy, turut mengulangi pendirian sama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan menyeru Israel agar menamatkan serangan kejam di Gaza dan menyertai proses damai jangka panjang yang berteraskan dua negara.
“Tidak wujud sebarang percanggahan antara sokongan terhadap keselamatan Israel dan sokongan terhadap kenegaraan Palestin,” tegas Lammy.
Untuk rekod, Sepanyol, Ireland dan Norway telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada tahun lalu, namun, beberapa negara Eropah lain masih keberatan untuk berbuat demikian. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami