KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memberi perhatian serius terhadap pelbagai isu melibatkan masyarakat India di negara ini, khususnya dalam aspek pendidikan serta kebajikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk komitmen menyokong pembangunan sekolah Tamil, pemerkasaan bahasa Tamil serta usaha berterusan membela nasib golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar dan estet.
Beliau berkata, kerajaan menyedari masih terdapat beberapa perkara perlu diperbaiki bagi memastikan keperluan masyarakat India, termasuk dalam aspek pendidikan ditangani secara berkesan.
“Begitu juga dalam isu kuil Hindu, soal peniaga India, soal kehidupan rakyat India yang miskin di kota-kota dan di ladang estet. Harus kita cuba tangani dan selesaikan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Deepavali Peringkat Kebangsaan 2026 di Little India, Brickfields, hari ini.
Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara dengan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) itu turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Perdana Menteri berkata, pendekatan Kerajaan MADANI adalah memastikan penyaluran bantuan kebajikan mengambil kira keperluan sebenar rakyat tanpa mengira kaum, selaras dengan usaha memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan negara.
Beliau berkata, pendekatan itu diterjemahkan menerusi inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain peruntukan bantuan RM200 kepada setiap murid sekolah pada Januari ini yang melibatkan semua aliran pendidikan.
“Anak-anak kita di semua aliran sekolah, semua kaum, semua daerah masuk sekolah. Kita berikan RM200 setiap anak sekolah. Sebab apa? Sebab kita fikirkan masa depan dia,” kata Menteri Kewangan itu.
Anwar turut menyeru rakyat agar terus memelihara semangat kekeluargaan serta saling menghormati dan menghargai kepelbagaian agama, budaya, bahasa mahupun keturunan demi keharmonian negara.
“Walaupun kita berbeza warna kulit, agama, budaya, bahasa dan keturunan, kita ada kemanusiaan. Kita menghormati dan menghargai satu sama lain. Itulah bagaimana Malaysia mesti kekal dan berjaya sebagai sebuah negara,” katanya.
-- BERNAMA