NEW YORK: Israel buat pertama kalinya dimasukkan ke dalam senarai hitam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi negara yang melakukan keganasan seksual di zon konflik.
Dalam laporan oleh pejabat Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, badan dunia itu mengesahkan sebanyak 31 kes keganasan seksual yang didakwa dilakukan oleh pasukan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 13 kes dilaporkan berlaku pada tahun 2025, manakala 18 lagi direkodkan dalam tempoh dua tahun sebelumnya.
PBB menegaskan laporan tersebut perlu dilihat sebagai “petunjuk kepada insiden dan pola” dan bukannya gambaran menyeluruh.
Israel bagaimanapun menolak dakwaan berkenaan, selain memaklumkan hasrat untuk memutuskan hubungan dengan pejabat Setiausaha Agung PBB.
Duta Israel ke PBB, Danny Danon, menuduh Guterres menyebarkan “pembohongan antisemitik”, sambil misi Israel ke PBB menyatakan mereka akan menolak sebarang hubungan dengan pejabat itu selagi beliau menerajui organisasi berkenaan.
Menurut laporan itu, kes yang disahkan melibatkan 14 lelaki, tujuh wanita, sembilan kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Pelanggaran yang dilaporkan termasuk rogol, rogol berkumpulan, paksaan berbogel serta keganasan terhadap alat sulit, didakwa dilakukan oleh anggota tentera, polis dan perkhidmatan penjara Israel.
PBB turut memaklumkan, usaha untuk menyiasat sepenuhnya isu berkenaan terhalang oleh kerajaan Israel, selain dakwaan wujud ancaman terhadap tahanan bagi menghalang laporan penderaan dibuat.
Pada tahun lalu, kumpulan Hamas turut dimasukkan dalam laporan sama berkaitan keganasan seksual berkaitan konflik.
PBB menyatakan, 12 bekas tebusan yang dibebaskan dari Gaza membuat dakwaan keganasan seksual terhadap pihak Hamas, namun badan itu tidak dapat mengesahkan laporan berkenaan kerana akses siasatan tidak diberikan oleh kerajaan Israel.
Guterres sebelum ini menyatakan Israel berada dalam keadaan “dipantau”, sambil menggesa negara itu mengambil langkah menyiasat dakwaan serta menambah baik keadaan tahanan rakyat Palestin.
Sejak itu, beberapa kes berprofil tinggi mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan wujud pola penderaan seksual terhadap tahanan Palestin.
Antaranya termasuk satu kes yang mencetuskan kontroversi apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang bocor didakwa menunjukkan lima pengawal Israel melakukan penderaan seksual terhadap seorang tahanan dari Gaza di pusat tahanan Sde Teiman.
Seorang doktor yang memeriksa mangsa kemudiannya mendapati kecederaan yang menyokong dakwaan tersebut.
Namun, walaupun mendapat perhatian antarabangsa, pendakwaan terhadap pengawal terbabit digugurkan pada Mac lalu.
Pada Disember tahun lalu, dua lelaki Palestin turut mendakwa mengalami penderaan seksual sebagai sebahagian daripada penyeksaan semasa ditahan di kemudahan tahanan Israel.
Perkhidmatan Penjara Israel ketika itu memaklumkan mereka beroperasi “selaras sepenuhnya dengan undang-undang” dan tidak mengetahui mengenai dakwaan tersebut.
Jawatankuasa PBB Menentang Penyeksaan pula pada November menyatakan kebimbangan serius terhadap laporan yang menunjukkan “dasar de facto negara” berkaitan penyeksaan tersusun dan meluas terhadap tahanan Palestin di penjara Israel, yang didakwa semakin meningkat selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Laporan berasingan oleh The New York Times berasaskan testimoni 14 mangsa penderaan seksual Palestin turut mencetuskan reaksi keras kerajaan Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Luar, Gideon Sa’ar dalam kenyataan bersama memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar itu, menyifatkan laporan tersebut sebagai “antara pembohongan paling keji dan diputar belit yang pernah diterbitkan terhadap negara Israel.”
Sepanjang konflik di Gaza, beberapa organisasi hak asasi manusia turut mengkritik kekurangan akauntabiliti serta seolah-olah wujud kekebalan terhadap pelanggaran yang didakwa dilakukan oleh tentera Israel.
Tahun lalu, organisasi penyelidikan Action on Armed Violence melaporkan hampir sembilan daripada 10 siasatan Israel terhadap kesalahan melibatkan tenteranya sejak bermulanya perang Gaza ditutup tanpa keputusan atau tanpa menemui sebarang kesalahan.
Daripada 52 kes yang dikaji, hanya satu kes membawa kepada sabitan penjara.
Tentera Israel dalam reaksinya menyatakan pihaknya menjalankan siasatan terhadap insiden luar biasa yang berlaku ketika operasi, khususnya apabila terdapat syak wujud pelanggaran undang-undang.
Tambahnya, siasatan jenayah akan dibuka sekiranya terdapat asas munasabah, selaras dengan undang-undang Israel dan perundangan antarabangsa.
Pasukan Rusia turut disenaraikan
Dalam perkembangan sama, pasukan tentera dan keselamatan Rusia turut dimasukkan dalam senarai hitam itu buat pertama kali susulan keganasan seksual terhadap tawanan perang dan tahanan awam dalam konflik Ukraine.
Menurut laporan tersebut, sebanyak 310 kes keganasan seksual berkaitan konflik dikenal pasti di Rusia dan wilayah Ukraine yang diduduki, melibatkan 280 lelaki, 26 wanita dan empat kanak-kanak perempuan.
Perang berkenaan bermula pada Februari 2022 selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin, melancarkan pencerobohan skala penuh ke atas Ukraine.
Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha, menyambut baik laporan itu dan menyifatkannya sebagai “langkah penting ke arah kebenaran dan kebertanggungjawaban”, manakala Rusia belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan. - Agensi