Skip to main content

Dunia

Bulgaria pertimbang sekatan media sosial untuk kanak-kanak, bimbang keganasan remaja

81730463418_TBmediasosial.jpg
Sekatan media sosial semata-mata tidak mencukupi dan kumpulan kerja mula membangunkan pakej langkah perundangan dan organisasi yang lebih menyeluruh.v - Gambar hiasan
Advertisement

ISTANBUL: Bulgaria sedang mempertimbangkan sekatan terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas menangani jenayah juvana dan tingkah laku antisosial, kata Menteri Buruh dan Dasar Sosial Nataliya Efremova pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap selepas mesyuarat antara agensi yang dipengerusikan Perdana Menteri Rumen Radev, Efremova berkata pegawai meneliti langkah yang diperkenalkan oleh negara anggota dan bukan anggota Kesatuan Eropah (EU).

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sekatan media sosial semata-mata tidak mencukupi dan kumpulan kerja mula membangunkan pakej langkah perundangan dan organisasi yang lebih menyeluruh.

Mesyuarat itu diadakan susulan beberapa kes keganasan membabitkan golongan bawah umur baru-baru ini, termasuk pembunuhan seorang lelaki berusia 37 tahun di bandar Plovdiv, selatan negara itu.

Seramai 10 remaja berusia antara 14 dan 17 tahun ditahan berhubung pembunuhan tersebut, dengan tiga lelaki dan dua perempuan didakwa secara rasmi, menurut Agensi Berita Bulgaria.

Efremova berkata kerajaan turut akan meneliti peranan suruhanjaya tempatan yang bertanggungjawab menangani kesalahan juvana, sambil mengakui bahawa sebahagiannya didapati tidak berkesan.

Beliau berkata usaha akan dimulakan pada September untuk melanjutkan Program Kebangsaan Pencegahan Keganasan, dengan versi baharu dijangka meliputi tempoh 2027 hingga 2030.

Dasar sebelum ini memberi tumpuan terutamanya kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan, namun langkah pada masa depan turut berusaha mencegah keganasan yang dilakukan oleh golongan bawah umur, katanya.

“Tragedi ini menunjukkan sejauh mana masyarakat kita telah merosot dan betapa teruknya masalah yang dialami,” kata Efremova.

Beliau menggesa ibu bapa memantau aplikasi mudah alih yang digunakan anak-anak mereka serta mengehadkan masa yang dihabiskan di platform dalam talian.

Pihak berkuasa turut akan berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak mengenai potensi bahaya Internet, katanya.

Menteri itu berkata perkhidmatan sosial, institusi pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri sedang menyelaraskan tindakan mereka serta menyediakan sokongan kepada keluarga yang berkaitan dengan kes Plovdiv, termasuk kaunseling psikologi.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement