Cabul dua pemain kriket wanita Australia, polis India tahan penunggang motosikal

Setelah laporan polis (FIR) dibuat, suspek kemudiannya dikenal pasti serta ditahan susulan satu operasi strategik intensif dijalankan. - X Indore Police
NEW DELHI: Polis India pada Sabtu memaklumkan yang seorang penunggang motosikal yang mencabul dua pemain kriket wanita Australia di negeri Madhya Pradesh, telah ditahan, lapor Xinhua.
Dua pemain pasukan kriket wanita kebangsaan Australia itu disentuh secara tidak senonoh oleh seorang lelaki pada pagi Khamis di Bandar Indore, bandar terbesar di Madhya Pradesh.
Kejadian berlaku ketika kedua-dua pemain sedang berjalan ke sebuah kafe di Jalan Khajrana selepas pasukan mereka menewaskan England.
"Pegawai keselamatan pengurusan Pasukan Kriket Wanita Australia membuat laporan yang dua anggota pasukan mereka berdepan dengan perlakuan tidak senonoh. Satu laporan polis (FIR) dibuat dan suspek dikenal pasti serta ditahan selepas operasi strategik intensif dijalankan," kata pegawai kanan polis di Indore, Rajesh Dandotiya.
"Suspek didakwa di bawah beberapa seksyen dalam kod jenayah baharu India. Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi (waktu tempatan) pada 23 Oktober ketika ahli pasukan wanita Australia sedang berjalan dari hotel menuju ke sebuah kafe. Kami sedang meneliti sama ada terdapat sebarang kelemahan dalam protokol keselamatan," katanya lagi.
Dilaporkan, suspek mengekori pemain berkenaan dengan motosikal sebelum menyentuh seorang daripada mereka secara tidak senonoh dan melarikan diri dari tempat kejadian.
Selepas kejadian, kedua-dua pemain yang ketakutan itu segera menghantar mesej kecemasan dan lokasi kejadian kepada pegawai keselamatan pasukan mereka, Danny Simmons.
"Saya sedang membaca mesej mereka apabilaseorang daripada pemain menghubungi saya sambil menangis. Dia memberitahu apa yang berlaku. Kami segera menghantar kenderaan dan membawa mereka pulang ke hotel dengan selamat," kata Simmons seperti dipetik oleh media.
Menurut laporan, seorang saksi sempat mencatat nombor motosikal suspek, yang kemudiannya membantu polis menjejakinya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Pasukan Kriket Wanita Australia kini berada di India untuk menyertai Piala Dunia Kriket Wanita ICC 2025.
"Kami boleh mengesahkan dua ahli pasukan wanita Australia didekati dan disentuh secara tidak senonoh oleh seorang penunggang motosikal ketika berjalan ke sebuah kafe di Indore. Perkara itu dilaporkan kepada polis oleh pegawai keselamatan pasukan dan siasatan sedang dijalankan," kata Cricket Australia dalam kenyataan kepada media.
Setiausaha Lembaga Kawalan Kriket di India (BCCI) Devajit Saikia mengecam kejadiaan itu dan berjanji akan "menilai semula protokol keselamatan jika perlu."
"Ini adalah insiden yang amat dikesali dan terpencil. India sentiasa dikenali dengan kemesraan , keramahan dan layanan baik terhadap semua tetamu. Kami mengekalkan dasar toleransi sifar terhadap perlakuan sebegini.
Kami menghargai tindakan pantas dan berkesan pihak polis Madhya Pradesh dalam menahan suspek. Undang-undang akan dilaksanakan bagi memastikan keadilan ditegakkan," katanya. "Kami juga akan meneliti semula dan memperkukuh protokol keselamatan sedia ada bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang."
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


