BUENOS AIRES: Calon presiden Ecuador Fernando Villavicencio maut selepas ditembak lelaki tidak dikenali, kurang dua minggu menjelang pilihan raya parlimen dan presiden, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik pihak berkuasa pada Rabu.

Lelaki yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah Fernando Villavicencio, 59, ketika beliau mahu menaiki kereta selepas berkempen di Quito kira-kira pukul 6.20 petang (2320 GMT), lapor media tempatan.

Pejabat peguam negara negara berkata seorang suspek cedera parah dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota keselamatan dan kemudian meninggal dunia semasa dalam tahanan.

Sembilan orang turut cedera dalam kejadian itu, termasuk seorang calon Parlimen dan dua pegawai polis.

Presiden Ecuador Guillermo Lasso berkata: "kesal dan terkejut dengan pembunuhan calon presiden Fernando Villavicencio, berikrar akan memastikan pelakunya tidak terlepas daripada hukuman."

Lasso berkata pihak berkuasa akan mengadakan pertemuan pada Rabu petang untuk membincangkan langkah yang perlu diambil susulan insiden mengejutkan itu.

"Jenayah terancang telah melampaui batas, hukuman yang berat akan dikenakan mengikut lunas undang-undang," kata Lasso.

Villavicencio ialah calon presiden untuk parti Build Ecuador Movement dan berada di tempat keempat atau kelima dalam tinjauan pendapat baru-baru ini.

Sebagai seorang wartawan dan Ahli Parlimen, beliau sering mengkritik jenayah rasuah yang berleluasa di Ecuador.

Pilihan raya presiden dan parlimen akan diadakan di Ecuador pada 20 Ogos, selepas Lasso membubarkan Parlimen di tengah-tengah prosiding pemecatan terhadapnya kerana dakwaan penyelewengan.

Negara yang sedang dilanda krisis politik itu turut menyaksikan peningkatan ketara insiden keganasan.

Jumlah kes pembunuhan meningkat daripada 2,115 kepada 4,603 pada tahun lalu, dengan kadar 25 kes bagi setiap 100,000 penduduk yang merupakan rekod tertinggi dalam sejarah negara.

-- BERNAMA