MENJELANG Pilihan Raya Presiden (Pilpres) bulan depan, gabungan calon Joko Widodo (Jokowi) - Ma’ruf Amin nampaknya terus terpalit dengan kontroversi.

Memetik laporan portal Indonesia, gambar gabungan calon bernombor 01 itu telah digunakan sebagai ‘model’ pada bungkusan kondom dan tersebar secara meluas sehingga mendapat reaksi daripada pelbagai pihak.

Tidak dapat disahkan sama ada tindakan itu merupakan salah satu taktik kotor untuk mencemarkan nama kedua-dua pemimpin itu atau sebaliknya.

Bagaimanapun, insiden berkenaan disifatkan keterlaluan.

Susulan itu, wakil Ketua Setiausaha Pertubuhan, Aduan dan Keahlian, Dewan Pimpinan Pusat Parti Nasional Demokrat (Nasdem) Hermawi Taslim, mendesak supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dalang yang menyebarkan gambar tersebut.

“Cara-cara biadab dan tidak beretika seperti itu tidak boleh dipandang remeh. Ia harus dibasmi dan tidak boleh berkembang menjadi budaya politik di Indonesia,” katanya seperti dilaporkan portal berita Indonesia pada Ahad.

Katanya, taktik kotor itu bukan sahaja boleh mencemarkan imej kedua-dua calon, bahkan menimbulkan perpecahan dalam kalangan kesatuan dan rakyat di republik itu.

“Tidak mustahil cara sedemikian akan membangkitkan fanatisme pasangan calon dan masyarakat akan diadu-domba dan berpecah-belah.

“Kita mesti mengekalkan pemilihan ini dalam suasana demokrasi dan mengikut kedaulatan undang-undang. Oleh sebab itu, (insiden) ini mesti disiasat dengan teliti,” ujarnya.

Jokowi mula melancarkan kempen pemilihan semula beliau pada September 2018.

Bekas usahawan perabot itu bakal berdepan bekas komander tentera khas, Prabowo Subianto yang bergandingan dengan Sandiago Uno pada pilihan raya 17 April ini.