WASHINGTON: Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai potensi penyakit kusta beralih menjadi endemik di negeri di bahagian tenggara AS, selepas kes baharu direkodkan di Florida, lapor Sputnik.

"Florida telah menyaksikan peningkatan kes kusta yang tidak mempunyai faktor risiko.

"Trend itu, sebagai tambahan kepada penurunan diagnosis pada kelahiran dalam kalangan warga asing, menyumbang kepada bukti bahawa kusta telah menjadi endemik di tenggara AS," menurut CDC dalam satu kenyataan.

CDC berkata jumlah kes meningkat lebih dua kali ganda di rantau ini sejak dekad yang lalu.

Pada 2020 hampir 160 kes dilaporkan di seluruh negara, Florida adalah antara penyumbang kes yang paling banyak.

Mengenai kes baharu itu, CDC berkata ia membabitkan seorang lelaki berusia 54 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan di luar negara mahupun domestik atau mempunyai kontak dengan orang dari negara endemik kusta.

Menurut CDC, kes kusta jarang berlaku di AS, sambil menambah bahawa puncak jangkitan pernah berlaku pada tahun 1983.

Pengurangan drastik dalam bilangan kes dicatatkan antara tahun 1980-an dan 2000.

-- BERNAMA