Skip to main content
Advertisement

Dunia

Chile isytihar darurat bencana selepas hujan lebat cetus banjir dan tanah runtuh

A drone view shows a house surrounded by flood waters after heavy rainfall from a weather front caused flooding and led the Chilean authorities to declare a state of emergency in La Serena, Chile, July 20, 2026. REUTERS/Jorge Vega
Rakaman dari kawasan bencana menunjukkan rumah dan jalan raya ditenggelami air. - Foto REUTERS
Advertisement

SANTIAGO: Kerajaan Chile mengisytiharkan keadaan bencana (state of catastrophe) di wilayah Coquimbo dan wilayah Huasco susulan hujan lebat yang mencetuskan banjir besar serta tanah runtuh di beberapa kawasan negara itu.

Sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan maut manakala beberapa lagi masih hilang selepas cuaca buruk melanda kawasan utara dan tengah Chile, menurut pihak berkuasa tempatan.

Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Chile (SENAPRED) memaklumkan ribuan penduduk terjejas, dengan lebih 99,000 orang terputus hubungan akibat penutupan jalan dan kerosakan infrastruktur.

Presiden Chile, José Antonio Kast, berkata kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan status bencana selepas menilai tahap kecemasan yang semakin memburuk di kawasan terjejas.

Pengisytiharan itu membolehkan pihak berkuasa mempercepatkan operasi bantuan, menggerakkan aset ketenteraan dan menyalurkan sumber kecemasan kepada mangsa.

Rakaman dari kawasan bencana menunjukkan rumah dan jalan raya ditenggelami air, manakala pasukan penyelamat menggunakan helikopter tentera serta kenderaan berat untuk memindahkan penduduk yang terperangkap.

Beberapa kawasan turut dilanda tanah runtuh yang memutuskan akses ke bandar dan kampung terpencil.

Menurut pihak berkuasa meteorologi Chile, beberapa kawasan di Coquimbo merekodkan jumlah hujan bersejarah, termasuk lebih 200 milimeter hujan di Cerro Tololo.

Sistem cuaca yang melanda negara itu menjejaskan 10 daripada 16 wilayah Chile.

Cuaca ekstrem itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi di beberapa kawasan.

Pihak berkuasa terus mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk berikutan risiko tanah runtuh dan pembentukan lubang benam di kawasan tertentu.

Wilayah Coquimbo, yang terletak kira-kira 460 kilometer di utara Santiago, merupakan antara kawasan pertanian utama Chile yang menghasilkan anggur, avokado dan buah sitrus.

Pakar memberi amaran bahawa banjir berkenaan boleh menjejaskan hasil pertanian serta infrastruktur pengairan, khususnya bagi petani berskala kecil.

Ahli meteorologi menjelaskan bahawa kejadian tersebut luar biasa kerana berlaku selepas hampir 16 tahun wilayah berkenaan berdepan kemarau berpanjangan.

Hujan lebat yang melampau turut dikaitkan dengan pengaruh fenomena El Niño yang sering menyebabkan cuaca ekstrem di pelbagai bahagian dunia.

Pihak berkuasa Chile menjangkakan hujan akan terus melanda beberapa kawasan dalam tempoh beberapa hari lagi dan menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pemindahan serta langkah keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

 

Must Watch Video

Advertisement