BEIJING: China aktif memperluas kerjasama antarabangsa berkaitan angkasa lepas, menyaksikan sebanyak 150 perjanjian antara kerajaan dimeterai dengan lebih 50 buah negara dan organisasi antarabangsa.

Demikian kata wakil Jabatan Pentadbiran Angkasa Negara (CNSA) dalam satu simposium antarabangsa mengenai penggunaan teknologi angkasa lepas secara aman yang berlangsung di Beijing bermula 18 hingga 20 November.

Pada bulan lepas, Belarus dan Pakistan turut menyertai program Stesen Penyelidikan Lunar Antarabangsa (ILRS) yang dicadangkan China dan dibina menerusi usaha sama beberapa negara.

Dua negara itu akan menjalankan lebih banyak kerjasama mendalam berhubung pembinaan dan operasi ILRS termasuk pengaplikasian teknologi angkasa, bahan baharu dan komponen elektronik serta latihan ahli penyelidik dan pakar berkenaan.

Naib Presiden Persatuan Astronautik China (CSA), Yang Baohua menyifatkan penerokaan dan penggunaan angkasa lepas secara aman sebagai tanggungjawab bersama seluruh umat manusia.

Beliau berkata mustahak untuk mengukuhkan kerjasama dan pertukaran antarabangsa dalam usaha berkenaan.

"Usaha itu akan membantu negara-negara aeroangkasa yang baru muncul untuk menerapkan inovasi teknologi angkasa lepas dan memajukan industri aeroangkasa.

"Ia akan turut mendorong hasil teknologi angkasa yang sedia ada untuk diaplikasikan dalam sektor lain, sekali gus menjana pembangunan sosioekonomi pelbagai negara," kata beliau.

Menurut CNSA, satelit meteorologi Fengyun yang dibangunkan China menawarkan perkhidmatan data kepada 115 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.

Sementara itu, prob penyelidikan Chang'e-4 milik China yang dilengkapi muatan saintifik Belanda, Jerman, Sweden dan Arab Saudi telah menjadi platform bagi saintis dalam dan luar negara untuk meneroka angkasa lepas dan menjalankan eksperimen saintifik.

Di bawah rangka kerjasama multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS, China akan menggerakkan perkongsian data satelit antarabangsa secara berperingkat dan membina pusat aplikasi data luar negara agar menyumbang ke arah merealisasikan matlamat pembangunan mampan PBB.

-- BERNAMA