Skip to main content

Dunia

China gariskan empat keutamaan sempena ulang tahun kelima GDI

Chinese Foreign Minister Wang Yi speaks with the media at the U.N. headquarters in New York City, U.S., May 26, 2026. REUTERS/Shannon Stapleton/File Photo
Wang berkata, China baru-baru ini menyertai 28 negara dalam melancarkan “World Digital Alliance” bagi mempromosikan kerjasama antarabangsa berkaitan tadbir urus AI serta membantu negara-negara Selatan Global  merebut peluang pada era digital. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

BEIJING: China menggariskan empat keutamaan untuk memajukan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) pada Selasa, dengan menggesa kerjasama pelbagai hala yang lebih kukuh, pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lebih pantas, kolaborasi digital yang lebih meluas serta penambahbaikan tadbir urus global.

Menteri Luar China, Wang Yi berkata, inisiatif itu menjadi semakin relevan ketika landskap antarabangsa bertukar kepada lebih kompleks, dengan kemajuan ke arah Agenda 2030 PBB semakin perlahan manakala jurang pembangunan antara Utara Global dan Selatan Global terus melebar.

"Berdasarkan latar belakang ini, kepentingan Inisiatif Pembangunan Global menjadi semakin jelas. 

"Kita mesti terus memajukan inisiatif ini dengan teguh, menyelaraskannya dengan strategi pembangunan semua negara, dan bekerjasama untuk membina masa depan yang lebih baik," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Peringkat Tinggi GDI di sini pada Selasa, yang menandakan ulang tahun ke-lima inisiatif berkenaan.

GDI yang diusulkan oleh Presiden Xi Jinping pada Sesi ke-76 Perhimpunan Agung PBB pada 2021, bertujuan menyokong pencapaian tepat pada waktunya bagi kesemua 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan menggiatkan semula perkongsian pembangunan global, serta mempromosikan pembangunan global yang lebih kukuh, hijau dan sihat.

Memperjelaskan empat keutamaan berkenaan, Wang berkata, masyarakat antarabangsa perlu memperkukuh fahaman pelbagai hala, mempertahankan sistem antarabangsa berteraskan PBB serta mewujudkan persekitaran yang aman dan stabil serta kondusif untuk pembangunan global.

Beliau berkata, China akan terus menyediakan dana, teknologi dan sumber pembangunan kepada negara-negara membangun di samping meluaskan kerjasama dua hala, pelbagai hala dan tiga hala bagi menangani ketidakseimbangan pembangunan.

Mengenai kerjasama digital, Wang berkata, China baru-baru ini menyertai 28 negara dalam melancarkan “World Digital Alliance” bagi mempromosikan kerjasama antarabangsa berkaitan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) serta membantu negara-negara Selatan Global  merebut peluang pada era digital.

Bagi keutamaan keempat, Wang menggesa penambahbaikan tadbir urus global dengan memajukan reformasi kepada sistem tadbir urus ekonomi global, memperkukuh kerjasama pembangunan dan memastikan negara-negara maju menunaikan komitmen mereka kepada negara-negara membangun.

Sementara itu, sambil menyorot pencapaian GDI sepanjang lima tahun lepas, Wang berkata, lebih 130 negara dan wilayah telah menyatakan sokongan, manakala hampir 100 negara dan organisasi antarabangsa telah menandatangani dokumen kerjasama dengan China di bawah inisiatif berkenaan.

Pada masa sama, Wang berkata, lebih AS$23 bilion telah digerakkan bagi melaksanakan lebih 180 projek "kecil tetapi berimpak tinggi", yang memberi manfaat kepada komuniti di seluruh dunia di bawah Dana Keamanan dan Pembangunan China-PBB serta Dana Pembangunan Global dan Kerjasama Selatan-Selatan.

Mesyuarat itu turut dihadiri pegawai kanan kerajaan, diplomat dan wakil organisasi antarabangsa, termasuk Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Norfarina Mohd Azmee.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement