Skip to main content

Dunia

China larang empat ahli Parlimen New Zealand selepas lawatan ke Taiwan

Sumber: Ministry of Foreign Affairs
Larangan itu dikenakan ke atas Laura McClure, David Wilson, Maureen Pugh dan Duncan Webb. - Foto Ministry of Foreign Affairs

SYDNEY: China dilaporkan melarang empat ahli Parlimen New Zealand daripada memasuki tanah besar China, Hong Kong dan Macau selama setahun selepas mereka melakukan lawatan ke Taiwan pada Mei lalu.

Menurut laporan media tempatan, Kedutaan China telah memaklumkan Parlimen New Zealand bahawa larangan itu dikenakan ke atas Laura McClure, David Wilson dan Maureen Pugh daripada parti gabungan pemerintah, serta ahli Parlimen pembangkang dari Parti Buruh, Duncan Webb.

Laporan turut menyatakan bahawa larangan perjalanan itu boleh dikurangkan atau ditarik balik sekiranya kesemua ahli Parlimen berkenaan memohon maaf atas lawatan tersebut.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar New Zealand berkata amalan lawatan ahli Parlimen negara itu ke Taiwan telah lama berlaku dan tidak bercanggah dengan dasar “Satu China” yang diamalkan Wellington.

“Walaupun New Zealand tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, ia tidak menghalang hubungan perdagangan, ekonomi, budaya dan pertukaran antara masyarakat,” kata jurucakap itu.

Sehingga kini, Kedutaan China di Wellington belum memberikan maklum balas rasmi terhadap laporan tersebut.

Seorang pegawai Parlimen New Zealand turut mengesahkan terdapat pertemuan dengan wakil kedutaan China, namun enggan mendedahkan butiran lanjut, sambil menegaskan sebarang nasihat kepada ahli Parlimen adalah sulit.

China, yang merupakan rakan dagang terbesar New Zealand, berpendirian bahawa Taiwan tidak berhak menjalin hubungan antara negara, satu pendirian yang ditolak oleh Taipei.

Seperti kebanyakan negara lain, New Zealand tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan pulau yang ditadbir sendiri itu.

Di bawah sistem perlembagaan New Zealand, ahli Parlimen bebas membuat keputusan sendiri termasuk berkaitan perjalanan rasmi apabila menerima jemputan, tanpa tertakluk kepada arahan kerajaan.
 

 

 

Must Watch Video

Advertisement