MOSCOW: China menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyeru beberapa anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) supaya tidak menghalang proses itu, menurut Menteri Luar China Wang Yi, lapor Sputnik.

"China dengan tegas menyokong hasrat rakyat Palestin untuk mendapatkan semula hak sah mereka dan sentiasa komited kepada penyelesaian yang komprehensif, adil dan berkekalan terhadap isu Palestin secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini semasa mesyuarat tahunan "Dua Sesi" badan-badan politik utama negara itu.

Wang yang merujuk kepada "pendudukan" wilayah Palestin yang berterusan oleh Israel berkata masyarakat global tidak harus mengabaikan hakikat itu.

Rakyat Palestin sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan diplomatik bagi negara mereka yang merdeka di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur yang sebahagiannya diduduki oleh Israel dan Semenanjung Gaza.

Kerajaan Israel enggan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah entiti politik dan diplomatik yang bebas dan membina penempatan haram di kawasan yang diduduki walaupun dibantah oleh PBB.

Palestin telah diberikan status negara pemerhati di Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2012.

-- BERNAMA