BEIJING: China telah menyumbang 990 juta dos vaksin COVID-19 kepada beberapa negara di dunia dan setakat ini menjadi penyumbang utama dan terbesar di peringkat global.

Naib Ketua Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China, Deng Boqing berkata demikian ketika menghadiri majlis penyerahan vaksin COVID-19 kepada Myanmar pada Jumaat.

Menurutnya, ketika ini, China telah dan akan menghulurkan bantuan vaksin kepada 105 buah negara dan empat pertubuhan antarabangsa, selain mengeksport vaksin kepada lebih 60 buah negara.

Deng berkata, dengan menerapkan konsep pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan, China telah melaksanakan bantuan kemanusiaan paling banyak sejak Republik Rakyat China ditubuhkan.

China telah menyumbang bahan keperluan pencegahan dan kawalan wabak kepada 150 buah negara dan 13 pertubuhan antarabangsa, menghantar 37 kumpulan pakar perubatan kepada 34 buah negara, selain mengadakan hampir 1,000 sesi perkongsian maklumat secara maya.

Beliau berkata China komited bergabung tenaga dengan negara-negara ASEAN dalam memerangi pandemik COVID-19 hingga mengintensifkan lagi perkongsian strategik China-ASEAN.

Setakat ini, China telah memberikan sejumlah besar bantuan vaksin dan bahan keperluan melawan wabak kepada sepuluh negara ASEAN, selain menghantar kumpulan pakar kepada Laos, Kemboja, Filipina, Myanmar dan Malaysia.

-- BERNAMA