LANGKAH-langkah mengawasi penularan penyakit berjangkit dikuatkuasakan menjelang musim bunga di China.

Menurut pihak berkuasa republik itu, langkah-langkah tersebut dilakukan terutamanya di stesen perkhidmatan awam seperti perkhidmatan kereta api, penerbangan dan lebuh raya.

Langkah keselamatan itu diambil susulan penularan wabak yang dilaporkan berpunca daripada virus korona jenis baru.

Virus korona yang baru dikesan berbeza daripada spesis virus korona manusia yang diketahui, termasuk virus yang menyebabkan SARS dan MERS.

Menurut Ketua Pegawai Pentadbiran Penerbangan Awam China, Wan Xiangdong, tiada kes pneumonia dilaporkan dalam kalangan penumpang setakat ini.

"Pihak kami akan terus memantau keadaan ini dari semasa ke semasa dan pada masa sama akan meningkatkan langkah-langkah keselamatan kesihatan bagi menangani penularan wabak ini," jelasnya.


Setakat ini, semua syarikat penerbangan China dilengkapi dengan peralatan perubatan kecemasan dan kit kesihatan.

Manakala kelengkapan bantuan perubatan kecemasan lengkap boleh didapati di lapangan terbang, yang sekali gus menjamin rawatan kecemasan udara yang berkesan dalam keadaan kecemasan.

Kementerian Pengangkutan China akan memberi tumpuan kepada langkah pembasmian kuman, pemantauan dan perlindungan di hab pengangkutan, terminal dan hab bekalan.

BACA: Dunia berjaga-jaga, China nafi SARS kembali melanda