Skip to main content

Dunia

Gempa bumi Flores: Angka korban meningkat kepada 38

A building is seen damaged following an earthquake in East Manggarai, East Nusa Tenggara province, Indonesia, Saturday, Aug. 15, 2026. (AP Photo/Kurniawan)
Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Suharyanto berkata setakat 3 petang waktu tempatan, dua orang dilaporkan cedera parah manakala 11 lagi mengalami kecederaan ringan, manakala kira-kira 2,000 penduduk telah berpindah secara kendiri. - Foto AP
Advertisement

JAKARTA: Angka korban akibat gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 yang melanda Pulau Flores di Nusa Tenggara Timur, Indonesia awal pagi Sabtu meningkat kepada 38 orang, sementara  pasukan penyelamat bertungkus lumus mengejar masa untuk menyelamatkan penduduk yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Suharyanto berkata setakat 3 petang waktu tempatan, dua orang dilaporkan cedera parah manakala 11 lagi mengalami kecederaan ringan, manakala kira-kira 2,000 penduduk telah berpindah secara kendiri.

"Masih terdapat beberapa penduduk yang dipercayai memerlukan bantuan, termasuk mereka yang terperangkap dalam beberapa bangunan," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung pada Sabtu.

Gempa bumi berkenaan melanda pada 4.58 pagi waktu tempatan, dengan pusat gempa terletak di laut kira-kira 30 kilometer (km) dari Mbay pada kedalaman 15 km.

Amaran tsunami yang dikeluarkan susulan gempa itu ditamatkan pada 7.31 pagi selepas pemantauan paras laut tidak menunjukkan sebarang peningkatan lanjut yang ketara.

Suharyanto berkata operasi mencari dan menyelamat kini menjadi keutamaan, dengan anggota daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Tentera Nasional Indonesia (TNI) serta Polis Republik Indonesia (Polri) dikerahkan bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa terkesan.

Puluhan rumah dan beberapa pusat kesihatan masyarakat mengalami kerosakan, manakala kejadian tanah runtuh menyebabkan beberapa laluan jalan raya terhalang. Bangunan terminal lapangan terbang dan dua pelabuhan turut terjejas, namun landasan penerbangan dilaporkan tidak mengalami kerosakan.

"Skop kerosakan masih dinilai memandangkan Sabtu merupakan hari pertama kejadian bencana ini, dan angka korban serta kerosakan dijangka terus dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

Suharyanto berkata pihak berkuasa turut memfokuskan usaha memulihkan talian perhubungan serta laluan pengangkutan, dengan Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat mengerahkan anggota dan peralatan bagi membersihkan jalan yang dihalang tanah runtuh.

Beliau berkata BNPB telah menyediakan dua helikopter dan sebuah pesawat untuk menyokong proses pemindahan serta penghantaran barangan bantuan, manakala bekalan makanan, air minuman dan air bersih, khemah, generator serta keperluan asas lain sedang dihantar ke kawasan terjejas.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement