Skip to main content

Malaysia

PERKESO perkenal ‘Oyen’, lantik MYFutureJobs Ambassador

PERKESO OYEN
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R.Ramanan (dua dari kanan) bergambar bersama maskot rasmi MYFutureJobs, ‘Oyen’, pada Karnival MYFutureJobs LINDUNG Kerjaya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). - Foto PERKESO
Advertisement

AYER KEROH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) secara rasminya memperkenalkan 'Oyen MYFutureJobs' sebagai maskot rasmi serta melantik MYFutureJobs Ambassador dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif kreatif itu dilancarkan bagi memperkukuh penglibatan golongan belia dan pelajar IPT sekali gus membolehkan platform perkhidmatan kerjaya nasional tersebut lebih mesra, mudah didekati, serta relevan dengan generasi muda.

Katanya, selain peluang pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut menyediakan ruang untuk golongan muda memperkasa kemahiran menerusi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), peningkatan kemahiran serta latihan semula.

“Hari ini kita telah lancarkan ‘Oyen’, maskot kita dan kami juga telah terangkan peluang-peluang yang telah disediakan di bawah KESUMA, ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta TalentCorp.

“Karnival ini memberi ruang kepada mereka untuk bertanya soalan dan melihat peluang pekerjaan yang disediakan dalam bidang-bidang tertentu dan ini memberikan satu peluang pekerjaan kepada pelajar yang akan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival MYFutureJobs LINDUNG Kerjaya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ramanan berkata, penganjuran karnival berkenaan merupakan antara usaha KESUMA menghubungkan mahasiswa secara terus dengan peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.

Katanya, karnival yang berlangsung selama lapan jam itu turut menyediakan akses kepada peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan bimbingan kerjaya, selain menggabungkan Karnival Kerjaya, Bicara Aspirasi Belia bersama Menteri Sumber Manusia, CEO TalkMYFutureJobs Rovers dan aktiviti e-sukan.

Image
PERKESO OYEN
Ramanan pada sesi dialog sempena Karnival MYFutureJobs LINDUNG Kerjaya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dihoskan personaliti, Amelia Henderson. - Foto PERKESO

Turut diadakan sesi dialog bersama Ramanan yang dihoskan selebriti Amelia Henderson dengan pelajar antaranya membangkitkan persoalan mengenai hala tuju kerjaya, pengangguran serta kebimbangan sukar mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Kita ada lebih 20 majikan yang ada dan daripada 20 majikan yang turut serta di dalam karnival ini, sebanyak 2,100 peluang pekerjaan disediakan untuk diisi.

“Ini memang bukan isu yang luar biasa (kebimbangan kebolehpasaran). Setiap orang bila dia habis belajar akan risau, tetapi tak payah menakutkan diri kita untuk menceburi satu bidang atau satu laluan yang bukan dilalui oleh semua orang,” tambahnya.

Sementara itu, pengenalan MYFutureJobs Ambassador dalam kalangan mahasiswa berperanan sebagai penghubung bagi menyampaikan maklumat peluang pekerjaan, pembangunan kerjaya dan perkhidmatan MYFutureJobs kepada rakan sebaya.

Katanya, penglibatan mahasiswa sebagai duta kampus dapat membantu mewujudkan kesedaran kerjaya lebih awal, sekali gus menggalakkan golongan muda membina profil kerjaya secara sistematik.

Image
PERKESO OYEN
Penganjuran karnival berkenaan merupakan antara usaha KESUMA menghubungkan mahasiswa secara terus dengan peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran. - Foto PERKESO

Must Watch Video

Advertisement