BANTING: Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem perparitan di 1,195 lokasi berisiko banjir melibatkan rangkaian jalan Persekutuan dan negeri di seluruh negara sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerja pembersihan awal itu merangkumi longkang, pembetung dan sistem saliran di lokasi yang pernah dilanda banjir, kerap terjejas atau berpotensi mengalami banjir berdasarkan rekod pemantauan teknikal JKR.
"Program Perdana Pembersihan Sistem Perparitan Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia ini telah dilaksanakan secara berperingkat sejak Oktober dan November lepas di negeri-negeri lain, dan hari ini di Kuala Langat merupakan kemuncak serta lokasi terakhir.
"Kita menyelaraskan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta swasta menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan aliran air dari jalan Persekutuan ke saluran PBT lancar tanpa sekatan, sekali gus mengelakkan takungan dan banjir kilat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluncurkan program berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ibrahim Esa dan Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi di Pejabat Pertanian Daerah Kuala Langat, Telok Datok di sini semalam.
Nanta berkata Pahang mencatatkan jumlah lokasi berisiko banjir tertinggi melibatkan jalan Persekutuan dan negeri iaitu 215 lokasi, diikuti Kelantan (193) dan Terengganu (177).
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kesiapsiagaan JKR turut diperkukuh dengan pengoperasian bilik gerakan bencana (BiGBen) yang telah dinaik taraf agar maklumat berkaitan bencana dapat dikongsi secara hampir masa nyata kepada semua agensi.
"Seramai 218 anggota pemasang juga dikerah agar bersiap siaga di tujuh stor daerah dengan baki stok kecemasan Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau Bailey iaitu sebanyak 2,680 kaki atau 21 set bagi memastikan tindakan pantas sekiranya berlaku laluan terputus,” katanya.
Terdahulu, Nanta menyempurnakan Majlis Penghargaan Siap Kerja Program Cakna MADANI: Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya yang menyaksikan 44 kontraktor menerima sijil penghargaan selepas berjaya menyiapkan projek mengikut spesifikasi ditetapkan.
Program Cakna MADANI itu melibatkan komponen Program Memperelok Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan (blackspot) Fasa 2, Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI) serta pemasangan Sensor Papan Tanda Had Laju (SSS) berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI), radar dan Internet Kebendaan (IoT).
"Dari 2021 hingga 2026, sebanyak 441 lokasi blackspot berjaya dirawat dengan peruntukan keseluruhan RM153.1 juta, manakala bagi Program LPKSI sejak 2018, sebanyak 172 lokasi dilengkapi kemudahan itu melibatkan kos RM45.8 juta.
"Bagi 2026 sahaja, kerajaan memperuntukkan RM33.6 juta untuk menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya di 104 lokasi strategik di kawasan Semenanjung, di samping pemasangan 18 unit SSS bernilai RM955,000,” katanya.
Mengulas mengenai keselamatan penunggang motosikal khususnya di laluan terowong Lebuhraya Persekutuan yang sering berdepan risiko takungan air, Nanta memaklumkan kementerian telah melaksanakan kerja pelebaran laluan, pemasangan lampu serta menaikkan aras permukaan jalan.
Beliau berkata pihaknya turut bersetuju dengan cadangan JKR untuk memperluaskan pemasangan sistem SSS ke lorong-lorong motosikal bagi memantau kelajuan dan meningkatkan keselamatan penunggang.
"Pemasangan SSS di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan itu dijangka mula dilaksanakan pada suku pertama tahun depan, sekitar April tertakluk kepada peruntukan semasa,” katanya.
-- BERNAMA