Skip to main content

Dunia

Usman Nurmagomedov, tujuh lagi dibebaskan selepas hukuman diringankan - Laporan

Usman Nurmagomedov dilaporkan telah dibebaskan daripada penjara di Abu Dhabi selepas hukuman enam bulan penjara yang dikenakan terhadapnya susulan pergaduhan dengan Merab Dvalishvili minggu lalu, digantikan dengan denda. - Gambar fail
Usman Nurmagomedov dilaporkan telah dibebaskan daripada penjara di Abu Dhabi selepas hukuman enam bulan penjara yang dikenakan terhadapnya susulan pergaduhan dengan Merab Dvalishvili minggu lalu, digantikan dengan denda. - Gambar fail

Ringkasan AI

  • Usman Nurmagomedov dan tujuh individu lain dibebaskan dari penjara Abu Dhabi selepas hukuman penjara enam bulan diganti dengan denda 150,000 dirham UAE.
  • Pembebasan dibuat selepas perdamaian antara pihak terlibat serta penarikan balik tuntutan dan rayuan mangsa kepada kerajaan Abu Dhabi.
  • Kesemua lapan individu sebelum ini dihukum penjara, denda dan pengusiran kerana terlibat dalam pergaduhan di lobi hotel pada 11 November lalu.
Advertisement

BINTANG MMA dari Rusia, Usman Nurmagomedov, dilaporkan telah dibebaskan daripada penjara di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), selepas hukuman enam bulan penjara yang dikenakan terhadapnya susulan pergaduhan dengan bekas juara UFC, Merab Dvalishvili, minggu lalu, digantikan dengan denda.

Menurut laporan The Independent, juara lightweight PFL itu merupakan antara lapan individu yang dibebaskan selepas Mahkamah Jenayah Abu Dhabi memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara enam bulan terhadap mereka kepada hanya denda sebanyak 150,000 dirham UAE setiap seorang.

Jabatan Kehakiman Abu Dhabi dalam kenyataan terbaharunya pada Selasa memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan perdamaian antara pihak yang terlibat serta penarikan balik tuntutan masing-masing.

Advertisement

Selain itu, mahkamah turut mengambil kira rayuan mangsa kepada kerajaan Abu Dhabi supaya semua individu yang terlibat dalam pergaduhan berkenaan dibebaskan.

"Keputusan itu selaras dengan kerangka perundangan yang mengawal kes jenayah berkenaan, selain mengambil kira penyelesaian antara kedua-dua pihak serta penarikan balik tuntutan dan pertikaian yang timbul daripada insiden tersebut," menurut kenyataan itu seperti dipetik The Independent.

Advertisement

Mahkamah sebelum ini mensabitkan enam individu atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam, mencetuskan panik dan membahayakan nyawa orang lain, manakala dua lagi individu pula didapati bersalah kerana merakam serta menyebarkan video pergaduhan tersebut.

Kesemua lapan individu itu pada asalnya dijatuhi hukuman penjara enam bulan, denda 300,000 dirham UAE serta perintah pengusiran selepas menjalani hukuman.

Sementara itu, portal berita UAE, The National melaporkan bahawa Usman merupakan antara individu yang dibebaskan, manakala abangnya, Umar Nurmagomedov turut dipercayai telah dibebaskan.

Terdahulu, pergaduhan tercetus di lobi sebuah hotel di Abu Dhabi pada 11 Nov lalu selepas Usman, yang juga merupakan sepupu kepada legenda UFC Khabib Nurmagomedov, dilihat menghampiri Dvalishvili dari belakang sebelum menampar muka petarung Georgia itu.

Tindakan tersebut mencetuskan pergelutan membabitkan kedua-dua petarung bersama anggota pasukan masing-masing sehingga membawa kepada penahanan 10 individu.

Dvalishvili yang mengalami kecederaan pada bahagian muka turut ditahan sebelum dibebaskan beberapa hari kemudian.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya membuat rayuan terbuka supaya pihak berkuasa membebaskan semua individu yang ditahan, selain menyatakan tidak berhasrat meneruskan tindakan undang-undang terhadap mereka.

Rayuan tersebut dibuat selepas Dvalishvili menewaskan bekas petarung UFC dari Brazil, Marlon Moraes dalam kejohanan gusti Real American Freestyle (RAF) di UAE pada Sabtu lalu.

Dvalishvili sebelum ini turut pernah menewaskan Umar dalam perebutan kejuaraan bantamweight UFC pada Januari 2025.
 

Must Watch Video

Advertisement