Skip to main content

Dunia

Colombia keluar amaran jingga gunung berapi Purace

Sumber: Colombian Geological Survey
Kepulan gas dan abu setinggi sehingga 3,400 meter dikesan keluar dari puncak gunung berapi itu dengan suhu dianggarkan sekitar 140 darjah Celsius. - Foto SGC
Advertisement

BOGOTA: Colombia mengeluarkan amaran jingga terhadap gunung berapi Purace susulan peningkatan aktiviti gunung berapi itu sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku letusan.

Menurut pihak berkuasa, amaran itu dinaikkan pada 1 Ogos selepas sistem pemantauan merekodkan tahap aktiviti tertinggi sejak pemerhatian bermula pada 1993. 

Aktiviti tersebut mula meningkat sejak 20 Julai.

Perkhidmatan Geologi Colombia (SGC) memaklumkan, kepulan gas dan abu setinggi sehingga 3,400 meter dikesan keluar dari puncak gunung berapi itu dengan suhu dianggarkan sekitar 140 darjah Celsius.

Selain itu, pelepasan gas sulfur dioksida dan karbon dioksida turut meningkat, menunjukkan aktiviti magma di bawah permukaan semakin aktif.

SGC menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan gunung berapi Purace, Piocollo dan Curiquinga yang merupakan sebahagian daripada rantaian gunung berapi Los Coconucos.

Penduduk berhampiran, termasuk komuniti Orang Asli dan petani, kini menerima bantuan serta pemantauan daripada pihak pengurusan bencana.

Gunung berapi Purace merupakan antara gunung berapi paling aktif di Colombia. Letusan besar terakhir direkodkan pada tahun 1977.

 

 

Must Watch Video

Advertisement