Raja Salman mengeluarkan arahan pelaksanaan perintah berkurung di Arab Saudi bermula petang Isnin untuk mengekang penyebaran jangkitan COVID-19.

Pengisytiharaan Diraja yang disiarkan oleh Agensi berita Saudi memaklumkan perintah berkurung itu bermula dari jam 7 malam sehingga 6 pagi setiap hari bermula hari ini selama 21 hari.

Titah oleh Raja Salman itu susulan pengumuman oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi bahawa 119 kes koronavirus baharu pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan positif COVID-19 di negara itu kini 511.

Arahan itu mewajibkan semua rakyatnya untuk tinggal di rumah masing-masing semasa perintah berkurung demi keselamatan mereka.

Bagaimanapun, pengecualian perintah berkurung itu diberikan kepada kakitangan awam dan swasta di beberapa sektor serta industri yang kritikal.

Pengecualian turut diberikan kepada pekerja di sektor keselamatan, tentera, media, serta kakitangan di sektor kesihatan dan perkhidmatan yang sensitif.

Kenyataan itu berkata Kementerian Dalam Negeri akan melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk melaksanakan perintah berkurung, dan semua pihak berkuasa sivil dan ketenteraan diperintahkan untuk memberi kerjasama sepenuhnya.