MANILA: Filipina melaporkan kes harian COVID-19 tertinggi dengan merekodkan 26,458 kes baharu, hari ini.

Jabatan kesihatannya memaklumkan kes keseluruhan di negara itu kini ialah 2.93 juta, manakala kes kematian pula mencecah lebih 52,000 dengan 265 kematian baharu direkodkan pada Sabtu.

Rekod kes harian tertinggi sebelum ini ialah 26,303 yang dicatatkan pada 11 Sep 2021.

Presiden Rodrigo Duterte awal minggu ini berkata, mereka yang belum mengambil suntikan vaksin COVID-19 akan ditangkap jika mereka ingkar perintah tidak keluar dari rumah.

Duterte dalam ucapan di televisyen meminta pemimpin masyarakat mencari individu yang tidak divaksin dan memastikan mereka berada di rumah mereka.

"Jika dia enggan, jika dia keluar rumah dan berada dalam masyarakat, dia boleh ditahan. Pihak berkuasa boleh menangkapnya," katanya.

Setakat Jumaat, 47 peratus rakyat negara itu sudah lengkap divaksin.