ORANG ramai kini dibenarkan untuk berkumpul sehingga 25 orang dalam satu masa di beberapa bahagian di New York berbanding hanya 10 orang sahaja sebelum ini.

Pengumuman itu dibuat Gabenor New york, Andrew Cuomo ketika Amerika Syarikat (AS) memasuki fasa pembukaan semula ekonomi.

Menurut Cuomo, kelonggaran itu diberikan berikutan penurunan kes secara berterusan.

“Kita kini memasuki fasa ketiga untuk beberapa wilayah di New York. Kita membuat sedikit perubahan berdasarkan data baharu dan kita membenarkan perhimpunan seramai 25 orang dalam satu masa pada fasa ketiga ini, berbanding 10 sebelum ini.

“Barat New York dan ibu kota akan memasuki fasa ketiga pada Rabu. Kepada kerajaan tempatan, jalankan kerja anda.

"Kerajaan tempatan perlu membuat penguatkuasaan yang lebih baik kerana apabila orang ramai sudah boleh keluar, mereka akan melakukan apa sahaja yang mereka ingin lakukan,” katanya.

Sementara itu, Cuomo memberi amaran, lesen minuman keras di restoran dan bar boleh ditarik balik jika pemilik premis gagal mematuhi peraturan pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial.