KERAJAAN Itali akhirnya meluluskan pakej rangsangan ekonomi yang bernilai AS$59.6 bilion bagi menangani krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik COVID-19.

Pakej berkenaan bertujuan membantu sektor perniagaan dan rakyat Itali yang terjejas berikutan krisis kesihatan itu.

Perdana Menteri, Giuseppe Conte sebelum ini berjanji mengumumkan mengenai pakej itu bulan lalu namun gabungan kerajaan yang lemah menyebabkan beberapa keputusan sukar dicapai.

Katanya, pakej berkenaan akan dikuatkuasakan serta -merta.

Rome meramalkan ekonominya akan menyusut sekurang-kurangnya lapan peratus tahun ini disebabkan koronavirus yang mengorbankan 31,000 warga Itali.

Pakej rangsangan itu meliputi geran pelepasan cukai bagi membantu syarikat mengatasi kemerosotan.

Ini termasuk bantuan kepada keluarga meliputi subsidi rawatan kanak-kanak dan insentif meningkatkan sektor pelancongan yang terjejas.

Kerajaan Itali meramalkan perbelanjaan tambahan ini akan dapat menampung kejatuhan pendapatan cukai serta mendorong defisit belanjawan kepada 10.4 peratus daripada produk domestik kasar tahun ini.

Pakej ini akan turut melibatkan pemberian 400 hingga 800 Euro sebulan untuk maksimum dua bulan kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan.

Cukai wilayah yang perlu dibayar oleh perniagaan pada bulan Jun juga akan dihapuskan dengan kos bernilai 4 bilion Euro.