KES jangkitan harian COVID-19 di Jepun melepasi 3,000 kes buat pertama kalinya selepas kerajaan melonggarkan sekatan yang dibimbangi menjejaskan ekonomi semasa musim cuti.

Menurut kementerian kesihatan negara itu, sebanyak 3,030 kes termasuk 621 di Tokyo direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Jepun meningkat kepada 177,287 kes dengan 2,562 kematian.

Pakar kesihatan memaklumkan, kes sedang meningkat di seluruh negara yang bakal membebankan hospital dan mempengaruhi rawatan perubatan harian bagi pesakit lain.

Justeru, pihak berkuasa didesak mengambil langkah seperti menangguhkan perjalanan ke luar kota dan meminta kedai ditutup lebih awal.

Jepun melonggarkan protokol kesihatan COVID-19 pada musim bunga, memberi kebebasan kepada kepada penduduk untuk bergerak.

Pakar turut memberi amaran, Jepun bakal berdepan cabaran yang lebih besar dengan jangkitan yang berterusan pada musim kering dan sejuk.