LEBIH ratusan ribu jangkitan baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam, menyebabkan jumlah kumulatif kes positif global kini melepasi 37 juta.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan, setakat pagi ini waktu Malaysia, jumlah kes positif COVID-19 di seluruh dunia adalah 37,363,585.

Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 7,759,183 kes.

Ini diikuti India dengan 7,053,806 kes, manakala Brazil merekodkan 5,082,637 kes.

Jangkitan COVID-19 di Rusia pula melepasi angka 1.29 juta.

Sementara itu, kes di Columbia, Argentina, Sepanyol dan Peru pula melepasi angka setengah juta.

Turut melepasi 500,000 kes adalah Mexico, Perancis, Afrika Selatan dan United Kingdom (UK).

Negara dalam lingkungan angka 300,000 hingga 500,000 kes jangkitan COVID-19 adalah Iran, Chile, Iraq, Bangladesh, Itali, Filipina dan Arab Saudi.

Manakala negara yang melepasi angka 100,000 hingga 200,000 adalah Kanada, Belanda, Belgium, Romania, Maghribi, Ecuador, serta beberapa negara lain.

Negara lain masih merekodkan angka positif di bawah 100,000.

Sementara itu, statistik Johns Hopkins University turut menunjukkan jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 berada pada 1,074,985.

AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 214,761 kes.

Ini diikuti Brazil dengan 150,198 kematian, India 108,334, Mexico 83,642 dan UK 42,915.

Itali, Peru, Sepanyol dan Perancis tetap berkongsi angka korban melebihi 30,000 kes sementara negara yang mempunyai kes lebih 20,000 adalah Iran, Colombia, Argentina dan Rusia.

Lain-lain negara masih merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.