KOREA Selatan melaporkan 441 kes baharu COVID-19 pada Khamis, sekali gus menjadikan jumlah kes harian tertinggi sejak beberapa bulan lalu.

Situasi itu menjadikan perintah sekatan di negara tersebut mungkin tidak ditarik semula dalam masa terdekat memandangkan penularan pandemik itu semakin tidak terkawal.

Sejumlah 441 kes yang dilaporkan pada Khamis merupakan kenaikan harian tertinggi sejak 483 kes yang dilaporkan pada 7 Mac lalu.

Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan, Yoon Tae-ho memberitahu, jumlah kes di kawasan bukan metropolitan telah meningkat melebihi 100 buat pertama kalinya dalam bulan ini.

Katanya, ia disebabkan peningkatan mendadak yang berlaku di Gwangju dan Daegu.

Setakat ini, pihak berkuasa Korea Selatan sedang berbincang bagi memperketatkan lagi arahan penjarakan fizikal.