Singapura mengesahkan 54 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah jangkitan di republik ini kepada 56,771 kes.

"Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat lapan kes dalam komuniti iaitu tujuh merupakan warga Singapura atau pemastautin tetap dan satu lagi adalah pemegang pas kerja," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini dalam data ringkas yang dikeluarkan hari ini.

Kementerian itu memaklumkan terdapat tujuh kes import yang semuanya diberikan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, republik ini mengklasifikasikan 889 daripada kes dilaporkan adalah kes import, 2,229 sebagai kes komuniti dan 53,599 melibatkan penghuni asrama.

Sebanyak 55,447 pesakit telah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan keluar hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

Sementara itu, 70 kes disahkan masih berada di hospital tetapi tiada seorang pun yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sejumlah 1,173 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, seramai 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi daripada COVID-19 di republik ini.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

-- BERNAMA