BANGKOK: Sama seperti Malaysia, jangkitan baharu wabak COVID-19 di negara jiran, Thailand pada Sabtu merekodkan angka membimbangkan dengan jumlah melebihi 9,000 kes.

Kementerian Kesihatan negara itu melaporkan 9,326 kes baharu direkodkan pada Sabtu dengan 91 kematian pada hari sama.

Daripada semua kes baharu itu, 9,134 kes melibatkan orang awam dan selebihnya, 192 kes membabitkan banduan.

Jumlah pesakit pulih dan dibenarkan pulang sejak 24 jam lepas pula seramai 3,841 pesakit.

Bangkok Post melaporkan sejak 1 April lepas, ketika gelombang ketiga bermula di negara itu, Thailand telah merekodkan 297,969 kes COVID-19 dengan 216,492 daripadanya telah pulih.

Sejak wabak itu bermula pada awal tahun lepas, terdapat 336,158 kes dilaporkan dan 243,918 daripadanya sudah pulih.

Angka kematian pula adalah sebanyak 2,531 pada gelombang ketiga (bermula 1 April 2021) berbanding 2,625 kematian dari wabak itu dikesan awal tahun lalu.

Sementara itu, daripada 91 kematian baharu direkodkan pada Sabtu, 47 daripadanya ialah golongan lelaki berusia antara 26 hingga 98 tahun atau puratanya 67 tahun.

Seramai 44 daripada mereka yang maut menghidap penyakit darah tinggi, 38 menghidap diabetes dan 21 daripadanya kadar kolesterolnya tinggi. 

Kota raya Bangkok mendahului dengan kematian terbanyak (51) diikuti oleh Samut Prakan (9), Nonthaburi (8), Pathum Thani (5), Nakhon Pathom (4). 

Dua masing-masing dilaporkan di Khon Kaen, Roi Et dan Narathiwat, dan masing-masing masing-masing di Phetchaburi, Maha Sarakham, Kamphaeng Phet, Songkhla, Phetchabun, Chachoengsao, Nakhon Si Thammarat dan Prachuap Khiri Khan.

Bangkok mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu 3,191 kes diikuti 672 kes (Pathum Thani), 603 kes (Samut Prakan), 551 kes (Samut Sakhon), 359 kes (Chon Buri) dan 334 kes (Nonthaburi).

Daripada 9,326  jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu, 9,307 kes merupakan kes penularan tempatan dan 19 kes import.
 
Sebanyak 19 kes yang import adalah dari Ethiopia (1), Emiriah Arab Bersatu (3), Indonesia (1), Rusia (1), Kemboja (1), Myanmar (12).