WASHINGTON DC: Sudah tiba masanya untuk menghentikan COVID-19 daripada menguasai kehidupan rakyat di Amerika Syarikat.

Itu yang diseru Presidennya, Joe Biden yang pada masa sama menggariskan beberapa strategi baharu bagi membolehkan rakyat Amerika Syarikat kembali hidup dalam keadaan normal dengan selamat selepas dua tahun dilanda pandemik.

Salah satu strategi baharu adalah, "test to treat" yang membolehkan pil antiviral percuma di farmasi kepada individu yang dijangkiti COVID-19.

Pelan baharu ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kadar komplikasi yang teruk dan kematian sekiranya dijangkiti.

Menurut koordinator White House, Jeff Zients, ketika ini sekolah dan perniagaan selamat dibuka menggunakan strategi yang ditambah baik.

Pengumuman strategi ini menyusul selepas ucapan Biden yang memberi fokus kepada progres mengawal penularan COVID-19 sejak tahun lepas, dengan penurunan kes yang drastik, vaksinasi dan ujian saringan.

Sejak beberapa minggu lepas, kes harian COVID-19 di Amerika Syarikat menunjukkan penurunan ketara selepas catat peningkatan drastik susulan varian Omicron.