WASHINGTON:Amerika Syarikat meningkatkan program vaksinasi COVID-19 di negara itu selepas permulaan yang perlahan daripada yang dijangkakan.

Menurut Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci, setakat ini 4 juta rakyatnya sudah menerima suntikan vaksin.

Malah, Fauci memaklumkan sebelum ini, Presiden dipilih Joe Biden berikrar dalam tempoh 100 hari pentabirannya, 100 juta suntikan vaksin akan diberikan.

Bagaimanapun, tegasnya, dalam usaha membendung penularan itu, usaha semua pihak dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan perlu diteruskan. 

"Keadaan ketika ini cukup membimbangkan.Tetapi ia akan menjadi bertambah buruk sekiranya kita hanya duduk diam dan menyatakan ia semakin buruk.

"Kita perlu menggandakan usaha asas yang kita tegaskan setiap masa. Ia adalah pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan menghindari daripada berkumpul beramai-ramai terutamanya dalam ruang yang kecil. Kita perlu teruskan usaha ini," ujarnya. 

Untuk rekod, jumlah kematian akibat COVID-19 di negara itu melepasi angka 350,000, jumlah tertinggi berbanding negara lain.

Sementara itu menurut data dari Universiti John Hopkins, lebih 20 juta kes positif dilaporkan di negara berkenaan.