PIHAK berkuasa kesihatan Amerika Syarikat bakal meluluskan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak di bawah usia 5 tahun.

Syarikat pengeluar vaksin Pfizer dan BioNTech SE telah memulakan proses mendapatkan kelulusan dan keputusan dijangka akan diketahui seawal bulan ini.

Dalam satu kenyataan bersama, syarikat itu berkata mereka telah mengemukakan data untuk kelulusan kecemasan bagi memenuhi permintaan Jabatan Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat.

Pesuruhjaya FDA, Janet Woodcock berkata permintaan agensi itu berikutan penularan pantas varian Omicron baru-baru ini.

"Vaksin yang selamat dan efektif bagi kanak-kanak dalam golongan usia ini menjadi keutamaan ketika ini," katanya.

Jelasnya jawatankuasa penasihat akan adakan mesyuarat pada 15 Februari depan bagi membincangkan kelulusan tersebut.

Jika ia diluluskan, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat perlu menentukan bagaimana vaksin berkenaan akan diberikan.