LONDON: England berkemungkinan akan menarik semula arahan pemakaian pelitup muka.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Perumahan dan Masyarakat, Robert Jenrick yang turut memberi bayangan bahawa tiada tindakan yang akan dikenakan dan tiada lagi arahan penggunaan pelitup muka.

Malah, beliau turut memberi cadangan agar orang awam buat penilaian sendiri berdasarkan apa yang dirasakan terbaik buat mereka.

"Saya ingin menarik semula arahan ini secepat mungkin. Pastinya kita tidak mahu melaksanakannya dalam tempoh yang panjang daripada sepatutnya.

"Kita akan, saya rasa, beralih kepada satu fasa yang tiada lagi kekangan.

"Kerajaan negeri tidak akan mengarahkan apa yang perlu anda lakukan, tetapi apa yang perlu anda lakukan adalah menilai sendiri tahap sesuatu keadaan.

"Jadi, setiap orang akan membuat keputusan berlainan dalam penggunaan pelitup muka, contohnya," kata Jenrick.

Perdana Menteri, Boris Johnson dijangka umum perkembangan kelonggaran sekatan baharu dalam beberapa hari akan datang.

Sekatan yang dikuatkuasakan dalam sektor ekonomi dan sosial ketika ini dijangka berakhir pada 19 Julai.

Namun, kelonggaran sekatan itu menimbulkan kegusaran dalam kalangan petugas kesihatan memandangkan peningkatan kes harian secara drastik ketika ini.

Bagaimanapun, jumlah kematian dan kadar penggunaan katil di hospital tidak menunjukkan peningkatan ketara.

Hampir 86 peratus rakyat UK dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 63.4 peratus sudah lengkap divaksinasi.