PARIS: Perdana Menteri Perancis, Jean Castex mendedahkan gelombang ketiga penularan COVID-19 di negara itu akan berakhir susulan penurunan kes harian.

Susulan perkembangan baik itu, pelajar akan dibenarkan ke sekolah semula bermula Isnin depan.

Selain itu, sektor perniagaan juga dijangka akan beroperasi semula menjelang pertengahan Mei.

Namun perintah berkurung waktu malam masih lagi berkuat kuasa.

"Jumlah kumulatif kes harian sudah menunjukkan penurunan sehingga 17 peratus dalam tempoh seminggu dan hari ini hanya lebih 30,000 kes harian dicatatkan.

"Penurunan ini adalah 80 peratus di keseluruhan wilayah dan lebih banyak diumumkan di daerah seperti di Paris, utara Perancis dan di Nice yang mana bermulanya penularan yang lebih pantas dan kita telah ambil langkah membendung seawal 20 Mac.

"Kemuncak gelombang ketiga mungkin akan berakhir dan tekanan pandemik ini semakin berkurangan," kata Castex.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa keputusan pembukaan semula sekolah adalah keputusan tepat.

Ini kerana, jelasnya, penutupan sekolah secara berterusan akan memberikan implikasi yang lebih besar kepada tahap pendidikan pelajar dan kesan psikologi.

Beliau pada masa sama menggesa agar rakyat negara itu menerima suntikan vaksin AstraZeneca.

Perancis juga akan melaksanakan garis panduan yang lebih ketat terhadap pengembara dari Brazil, Argentina, Chile, Afrika Selatan dan India.