DUBLIN:Ireland bakal diletakkan pada tahap amaran tertinggi selama enam minggu sebagai usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19 di negara itu.

Perdana Menterinya, Micheal Martin mengumumkan, langkah itu akan berkuat kuasa bermula tengah malam Rabu hingga 1 Disember.

Penguatkuasaan itu memaksa orang ramai supaya kekal berada di rumah dan hanya dibenarkan keluar bersenam dalam jarak lima kilometer dari kediaman.

Selain itu, hanya kedai menyediakan perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi, manakala restoran dan bar hanya boleh menyediakan perkhidmatan bawa pulang.

Sebarang perhimpunan sosial di rumah dan kawasan luar rumah bersama ahli keluarga juga tidak dibenarkan.

Namun, sekolah akan tetap dibuka sebagai mengutamakan sistem pendidikan di negara itu.

Setakat ini, 50,993 kes positif COVID-19 dicatatkan di Ireland dengan 1,852 kes kematian.