TOKYO: Sejumlah 10,110 kes baharu COVID-19 direkodkan di seluruh Jepun setakat Khamis.

Jumlah harian tersebut melepasi angka 10,000 kes buat pertama kali di negara itu dengan 3,865 kes dilaporkan di Tokyo.

Purata peningkatan kes sejak seminggu lalu bermula apabila bandar Tokyo memulakan temasya Sukan Olimpik dengan 2,224.1 kes berbanding 1,373.4 kes minggu lalu.

Malah jumlah pesakit dalam keadaan tenat di bandar metropolitan itu juga catat peningkatan.

Kerajaan Jepun dijangka akan memuktamadkan keputusan mengenai keadaan darurat COVID-19 untuk tiga wilayah yang berjiran dengan Tokyo termasuk Kanagawa, Chiba dan Saitama pada Jumaat.

Pada Khamis, Penasihat Kesihatan Awam Kerajaan, Shigeru Omi memberi amaran negara itu bakal berdepan keadaan yang lebih serius berbanding pada awal penularan pandemik.

Justeru itu, beliu menggesa kerajaan agar menyampaikan mesej yang jelas berkenaan sistem kesihatan yang kini dalam keadaan tertekan.

Pusat penyakit berjangkit negara itu menjangkakan peningkatan penularan sehingga 70 peratus di kawasan metropolitan susulan penularan varian Delta.