JUMLAH kes positif COVID-19 di Amerika Syarikat kini melebihi 7.8 juta kes.

Menurut data oleh Universiti Johns Hopkins, jumlah keseluruhan kes di negara itu kini adalah 7,836,680 dengan 215,549 kematian.

Laporan CNN pada Isnin mendedahkan, kes baharu banyak direkodkan di lima daerah negara itu iaitu Montana, New Mexico, utara Carolina, Tennessee dan Vermont yang menunjukkan peningkatan sehingga 50 peratus sejak beberapa minggu lalu.

Ia sekali gus menunjukkan peningkatan mendadak di 31 daerah di AS sejak beberapa minggu lalu sementara 16 daerah lagi stabil dengan kes sedia ada.

Dengan penambahan kes itu, jumlah pesakit yang dirawat di hospital turut meningkat, menyukarkan pihak berkuasa kesihatan untuk menampung keseluruhan kes, dengan peralatan yang tidak mencukupi.

Contohnya di utara Dakota, terdapat kurang daripada 20 katil untuk merawat pesakit COVID-19 di daerah itu.

Untuk rekod, Amerika Syarikat kini masih negara yang merekodkan kes paling tinggi diikuti India (7.1 juta kes), Brazil (5.1 juta kes) dan Rusia (1.3 juta kes).