JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 361 juta.

Ini berikutan lebih 4 juta kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan bilangan kes COVID-19 global kini mencecah 361,022,822.

Data Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 72 juta kes.

Ini diikuti India dengan 40 juta kes dan Brazil dengan 24 juta kes.

Sementara itu, negara yang mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 melebihi angka 10 juta ialah Perancis (17,848,291), United Kingdom (16,260,295), Turki (11,167,927), Rusia (11,129,318) dan Itali (10,383,561).

Sepanyol dan Jerman kini merekodkan lebih 9 juta kes.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes COVID-19 dengan melebihi 4.29 juta kes.

Ini diikuti Filipina dengan lebih 3.4 juta, Malaysia lebih 2.84 juta kes, Thailand 2.39 juta kes, manakala Singapura merekodkan 322,770 kes.

Sementara itu, angka korban akibat COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 5.62 juta.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat terus merekodkan jumlah tertinggi dengan 874,886 kes kematian setakat ini.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 624,000 kes, India lebih 491,000 kes, Rusia lebih 321,000 kes manakala Mexico 303,000 kematian.

United Kingdom, Itali, Perancis dan Jerman pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 90,000 kes ialah Sepanyol.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 144,000 kes korban.

Filipina di tangga kedua angka korban tertinggi dengan lebih 53,000 diikuti Malaysia dengan 31,000 kes dan Thailand, 22,000.