JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 global kini melebihi 77.8 juta.

Setakat 5.30 pagi ini waktu Malaysia, terdapat 77,783,803 kes positif COVID-19 direkodkan di seluruh dunia, menurut data terbaharu Johns Hopkins University.

Ini berikutan pertambahan ratusan ribu kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan lebih 18.1 juta kes.

Ini diikuti India dengan lebih 10 juta kes, manakala Brazil merekodkan lebih 7.26 juta kes.

Negara yang melepasi angka dua juta kes adalah Rusia, Perancis, United Kingdom dan Turki sementara Itali, Sepanyol, Argentina, Jerman, Colombia, Mexico, Poland dan Iran mencatat lebih sejuta kes.

Peru, Ukraine, Afrika Selatan, Belanda, Indonesia, Belgium, Romania, Chile, Iraq, Kanada dan Bangladesh merekodkan angka lebih setengah juta kes.

Negara dalam lingkungan 300,000 sehingga 500,000 kes adalah Filipina, Pakistan, Maghribi, Switzerland, Israel, Portugal, Sweeden, Arab Saudi, Austria, Hungary dan Serbia.

Sementara itu sebanyak 35 buah negara lain merekodkan angka positif dalam lingkungan 100,000 hingga 300,000 kes.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka positif di bawah 100,000.



Sementara itu, angka kematian seluruh dunia kini mencecah 1,711,805.

AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 321,698 kes.

Ini diikuti Brazil, India dan Mexico yang merekodkan angka kematian lebih 100,000 kes.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Itali, United Kingdom, Perancis, Iran dan Rusia.

Manakala negara yang merekodkan 30,000 sehingga 50,000 kematian adalah Sepanyol, Argentina, Colombia dan Peru.

Jerman, Poland dan Afrika Selatan catat kes kematian lebih 20,000.

Indonesia, Belgium, Turki, Chile dan Ukraine antara negara yang merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.