LEBIH 300,000 kes baharu COVID-19 dilaporkan di peringkat global, menjadikan jumlah kes positif kini melebihi 120.52 juta kes.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 29.52 juta kes, diikuti Brazil dengan 11.51 juta kes dan India dengan lebih 11.4 juta kes.

Negara yang melebihi angka 4 juta kes adalah Rusia, United Kingdom dan Perancis, manakala Itali dan Sepanyol melebihi tiga juta kes.

Turki, Jerman, Colombia, Argentina dan Mexico mencatat lebih 2 juta kes, sementara Poland, Iran, Afrika Selatan, Ukraine, Indonesia, Peru dan Belanda  pula catat lebih 1 juta kes positif.

Manakala Kanada, Chile, Romania, Portugal, Belgium, Iraq, Sweden, Filipina, Pakistan, Switzerland, Bangladesh dan Serbia pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

Negara lain merekodkan angka positif di bawah 500,000 kes termasuk Malaysia.


Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 29.52 juta kes, diikuti Brazil.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melepasi 2.66 juta kes.

Bagaimanapun, kadar kematian secara global kini pada 2.67 peratus berbanding 2.68 peratus seminggu yang lalu.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 536,000 kes, diikuti Brazil dengan lebih 279,000 kes.

Mexico, India, United Kingdom dan Itali pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Perancis, Rusia, Jerman, Sepanyol, Iran, Colombia, Argentina dan Afrika Selatan.

Manakala negara yang mencatatkan antara 30,000 hingga 50,000 kes kematian adalah Peru, Poland dan Indonesia.

Selain itu, Ukraine, Turki, Belgium, Kanada dan Chile pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.