Ringkasan AI
- Industri penerbangan perlu memperkukuh kapasiti institusi dan memastikan keselamatan kekal sebagai keutamaan utama, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
- Hasbi menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam MRO, pensijilan kawal selia, pengurusan trafik udara, dan latihan teknikal untuk profesional aeroangkasa.
- Asia Pasifik kekal sebagai pasaran penerbangan terbesar dunia, dengan pertumbuhan permintaan penumpang 1.9 peratus dan faktor muatan tertinggi direkodkan.
KUALA LUMPUR: Industri penerbangan perlu memperkukuh kapasiti institusinya bagi menyerap ketidaktentuan makroekonomi global serta mengharungi ketidakpastian ekonomi luaran, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau berkata keselamatan perlu terus menjadi keutamaan paling utama industri penerbangan dan tidak boleh dikompromikan.
"Pengawasan kawal selia yang mantap, tadbir urus penerbangan awam yang bebas, serta pematuhan ketat terhadap piawaian antarabangsa merupakan asas utama kepercayaan penumpang," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Presiden ke-70 (AP70) Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) di sini, hari ini.
Hasbi turut menyeru industri agar menjalin kerjasama bagi mengurangkan gangguan dalam sektor tersebut.
"Ini menuntut kerjasama serantau yang lebih kukuh bagi memperluas keupayaan penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO), menyelaraskan pensijilan kawal selia merentasi sempadan, menyeragamkan pengurusan trafik udara, serta mempercepat program latihan teknikal bagi generasi profesional aeroangkasa akan datang," katanya.
Selain itu, katanya, ketika kerangka operasi industri beralih ke arah pendigitalan dan saling berhubung, keselamatan siber serta daya tahan data penerbangan yang kritikal perlu dianggap sebagai keperluan paling utama dalam keselamatan penerbangan.
"Pihak berkuasa penerbangan awam, pengendali lapangan terbang, dan syarikat penerbangan perlu mewujudkan protokol perkongsian maklumat ancaman yang lancar bagi melindungi rangkaian kita daripada gangguan digital," katanya.
Mengenai bahan api penerbangan lestari (SAF), Hasbi berkata aspirasi berkaitan SAF itu mesti diimbangi dengan ketersediaan secara komersial, keterjaminan bekalan, serta harga yang berdaya maju dari segi kewangan.
"Di rantau Asia-Pasifik, kita perlu menumpukan kepada usaha mendapatkan bahan suapan yang diperakui, membina infrastruktur penapisan domestik, mewujudkan rantaian logistik yang mantap, serta merapatkan jurang harga antara bahan api hijau premium dengan bahan api konvensional," kata Hasbi.
Sementara itu, ketua pengarah AAPA Wong Hong berkata Asia Pasifik kekal sebagai pasaran penerbangan terbesar di dunia dan diunjurkan terus kekal mencatatkan pertumbuhan terpantas.
Beliau berkata rantau ini terus menunjukkan daya tahan operasi dan komersial yang mengagumkan, meskipun berdepan dengan persekitaran operasi yang semakin mencabar.
“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, permintaan penumpang terhadap syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 1.9 peratus, dengan purata faktor muatan syarikat penerbangan mencapai paras tertinggi dalam rekod, iaitu 83 peratus.
"Golongan pertengahan yang semakin berkembang, peningkatan pendapatan boleh guna, pembandaran yang kian pesat, serta minat yang semakin meningkat terhadap perjalanan antarabangsa menjadi pemacu struktur yang ampuh," katanya.
-- BERNAMA