WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memaklumkan beliau percaya pandemik COVID-19 yang menyerang dunia sejak dua tahun lalu telah berakhir.

Biden yang berkongsi pendapatnya menerusi rancangan bual bicara popular, '60 Minutes' tayangan CBS memberitahu meskipun berpandangan begitu, beliau mengakui masih banyak isu yang perlu diselesaikan.

“Pandemik sudah berakhir. Negara masih berdepan masalah dengan COVID-19 dan Kerajaan masih dalam usaha mencegah masalah ini. Tetapi pada pandangan saya pandemik telah berakhir,” jelas Biden.

Kerajaan AS mengisytihar wabak COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan awam selepas meragut lebih 1 juta nyawa rakyat negara itu dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan ia masih menjadi kebimbangan antarabangsa.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan, pandemik kini berada di penghujung namun dunia perlu sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga menamatkan wabak COVID-19.

“Belum tiba saat itu tetapi makin menghampiri,” ujarnya.

BACA: COVID-19: Dunia perlu rebut peluang tamatkan wabak

Data dari Universiti Johns Hopkins mencatatkan kira-kira 65,000 kes baharu COVID-19 dilaporkan setiap hari sepanjang dua minggu lalu di seluruh Amerika Syarikat manakala kira-kira 400 kematian setiap hari akibat COVID-19.