Pulau peranginan terkenal di Indonesia, Bali yang selama ini sangat bergantung pada industri pelancongan sudah memasuki fasa kegawatan ekonomi.

Pada suku pertama tahun ini, ekonomi Bali menguncup pada 1.14 peratus sebelum menjunam kepada 10.98 peratus pada suku tahun kedua.

Menurut Gabenor Bali, Wayan Koster, ekoran krisis ekonomi itu juga menyebabkan seramai 2,667 pekerja dalam sektor pelancongan Bali diberhentikan manakala 73,631 pula diberhentikan buat sementara, lapor Nikkei Asian Review.

Membuka semula Bali kepada pelancong antarabangsa hanya akan menuntut pelbagai peraturan yang ketat memandangkan kedudukan Bali sebagai destinasi percutian ternama dunia, tegas Koster.

Bahkan, Koster turut memberi amaran tindakan memulihkan semula sektor pelancongan Bali secara tergesa-gesa hanya akan mencemarkan reputasi Indonesia di peringkat global sekiranya pandemik berbahaya itu masih menular.

“Tindakan ini hanya akan menyebabkan usaha pemulihan sektor pelancongan tidak produktif,” tegasnya lagi.

Dalam masa sama, pihak berkuasa juga akan terus mengoptimumkan usaha mengalakkan kemasukan pelancong tempatan ke Bali iaitu tindakan yang seiring dengan aspirasi kerajaan Pusat, jelas Koster.



Pada awal bulan ini, Menteri Koordinasi Hubungan Laut dan Pelaburan, Luhut Panjaitan berkata, kerajaan pimpinan Presiden Joko Widodo (Jokowi) sedang merancang untuk memberi tumpuan pada industri pelancongan perubatan tempatan dan ‘workation’ yang menggabungkan pekerjaan dan percutian.

Menurut Luhut, terdapat antara 500,000 hingga satu juta rakyat Indonesia yang memiliki 'lebihan wang' memandangkan mereka tidak dapat mengerjakan ibadah umrah dan haji di Tanah Suci ekoran sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi ekoran pandemik COVID-19.

Sebahagian daripada jumlah berkenaan pula tidak dapat keluar dari Indonesia untuk mendapatkan rawatan perubatan di Singapura dan Malaysia.

“Jika dihitung semuanya, barangkali sudah mencecah angka billion Dolar,” kata Luhut lagi.

Mencadangkan wang-wang berkenaan dibelanjakan dalam negara, beliau turut mempelawa para pekerja di sektor teknologi agar menggunakan ruang dan kesempatan yang ada dengan beroperasi dari Bali.

“Kami sedang memikirkan mengenai hal ini dan sedang berusaha kea rah menjayakannya. Kami hanya perlu mewujudkan undang-undang,” ujar beliau.



Secara purata, Indonesia sehingga Ahad mencatatkan jumlah mangsa positif COVID-19 seramai 153,535 kes iaitu negara kedua tertinggi di Asia selepas Filipina.

Jumlah kematian rakyat Indonesia akibat pandemik itu pula mencecah 6,680 orang.

Sementara itu, pihak berkuasa Bali juga membuat keputusan untuk menangguhkan rancangan membuka semula pintu masuknya kepada pelancong asing pada tahun ini.

Keputusan itu dibuat kerana kerajaan masih dalam proses untuk mencegah penularan COVID-19.

Bali yang sebelum ini hanya membenarkan kemasukan pelancong tempatan pada hujung Julai, merancang untuk membuka pintu kepada pelancong antarabangsa pada 11 September ini.

Bagaimanapun, Koster berkata, pemerintah Indonesia masih belum dapat menerima kehadiran pelancong asing sehingga hujung tahun ini memandangkan Indonesia masih lagi berada dalam kategori zon merah.

“Situasi di Indonesia ketika ini sangat tidak kondusif untuk membenarkan kemasukan pelancong ke Indonesia, termasuk berkunjung ke Bali,” katanya.

Pulau peranginan berkenaan secara relatif mencatatkan angka jumlah jangkitan COVID-19 sebanyak 4,513 sehingga Ahad lalu – sekitar tiga peratus daripada jumlah keseluruhan kes di Indonesia.